header-inner-1
LAYER-HEADER-INNNERLAYER-HEADER-INNNER
header-inner-3
header-inner-4
header-inner-5
header-inner-6
header-inner-7
PERTANIAN TANPA BATAS: KEJORA CUNGKIL INOVASI VERTICAL FARM BERSAMA MARDI
Lawatan kerja KEJORA ke Kilang Tanaman dan Laman Agrosolar MARDI di Serdang telah diketuai oleh YBrs. Encik Mohd Gadaffie bin Abd Aziz, Pengurus Besar KEJORA, sebagai satu inisiatif strategik untuk meneroka teknologi pertanian moden khususnya kaedah penanaman hidroponik secara vertical farm.
Lawatan ini memberi pendedahan secara langsung kepada pegawai KEJORA mengenai penggunaan teknologi terkini dalam sektor pertanian seperti sistem hidroponik , kawalan persekitaran tertutup serta penggunaan data pintar bagi meningkatkan hasil tanaman. Delegasi KEJORA turut berpeluang melihat demonstrasi amali dan berinteraksi bersama pakar MARDI berkaitan kecekapan pengeluaran, penjimatan sumber serta pengurusan tanaman secara moden.
Melalui lawatan ini, KEJORA berhasrat memahami potensi pelaksanaan indoor farming sebagai pendekatan baharu dalam meningkatkan produktiviti pertanian di kawasan pembangunan wilayah. Kaedah ini dilihat mampu mengoptimumkan penggunaan ruang terhad, mengurangkan kebergantungan kepada faktor cuaca serta menghasilkan tanaman berkualiti tinggi secara konsisten dan berterusan.
Selain itu, teknologi ini juga berpotensi menarik minat golongan muda untuk menceburi sektor pertanian moden yang lebih berdaya saing, inovatif dan berteknologi tinggi. KEJORA menaruh harapan agar pendekatan ini dapat diperluaskan ke kawasan luar bandar sebagai solusi kepada isu kekangan tanah dan perubahan iklim. Dengan sokongan teknologi serta latihan yang bersesuaian, kaedah ini dijangka mampu meningkatkan pendapatan komuniti setempat di samping memperkukuh sekuriti makanan negara.
Dalam jangka masa panjang, KEJORA optimis bahawa penerapan teknologi pertanian moden ini akan menjadi pemangkin kepada transformasi sektor pertanian luar bandar ke arah yang lebih mampan, progresif dan berimpak tinggi.