PROGRAM LAWATAN DI BAWAH SKIM PEMBANGUNAN KESEJAHTERAAN RAKYAT (SPKR) WILAYAH KEJORA
Pada 18 Oktober 2021 Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) melalui Bahagian Pembangunan Sosial dan Pemajuan Desa telah menerima kunjungan daripada Bahagian Kesejahteraan Rakyat, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi menyempurnakan sesi taklimat dan lawatan di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) Wilayah KEJORA Tahun 2021.
Program dimulakan dengan kunjungan ke Bengkel Latihan TAS DESIGN & FASHION di Taman Desaru Utama, Bandar Penawar yang menawarkan Kursus Jahitan Langsir Moden. Kursus ini merupakan inisiatif di bawah Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) yang bertujuan untuk memberi peluang kepada peserta latihan kemahiran dalam bidang berkaitan dan seterusnya akan diserap untuk bekerja. Kursus ini melibatkan seramai 20 orang peserta dan tempoh latihan adalah selama 3 bulan. Sesi lawatan ini telah diketuai oleh Encik Azlan bin Ibrahim, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Kesejahteraan Rakyat, KPLB.
Sesi taklimat dan lawatan diteruskan lagi dengan kunjungan ke Tapak Cadangan Projek Ternakan Madu Kelulut di tapak projek Koperasi Kg. Baru Sg. Seluyut, Kota Tinggi Berhad. Projek ini merupakan inisiatif di bawah Program Komuniti Sejahtera (PKS), Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR). Program ini diperkenalkan bagi meningkatkan taraf hidup kumpulan sasar dan seterusnya memberi peluang ekonomi kepada penduduk dalam Wilayah KEJORA.
Sesi lawatan oleh pihak KPLB diakhiri dengan Majlis Penutupan Kursus Asas Perniagaan Program Peningkatan Pendapatan (PPP), Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) bagi tahun 2021 yang telah berlangsung selama 2 hari iaitu pada 17 Oktober 2021 dan 18 Oktober 2021 di Hotel Desaru Penawar, Bandar Penawar. Seramai 25 peserta yang juga merupakan penerima bantuan di bawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP) telah mengikuti kursus yang dilaksanakan bertujuan untuk meningkatkan ilmu dan pengetahuan tentang asas perakaunan, asas keusahawanan serta asas dalam pemasaran digital. Selain itu turut ditampilkan YBhg. Dato Haji Che Umar bin Haji Yatim, Pengasas Pasaraya Borong SAKAN dalam satu sesi bersama tokoh bagi memberikan semangat dan inspirasi khususnya kepada para peserta untuk berjaya dalam bidang perniagaan.
Majlis Perasmian Penutup Kursus Asas Perniagaan, Program Peningkatan Pendapatan (PPP), Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) bagi tahun 2021 telah dirasmikan oleh YBhg. Encik Mohd Hafizi bin Ab Rahman, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagia Kesejahteraan Rakyat , Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).