SINERGI SELATAN: PROGRAM JALINAN AKRAB 2026 PERKUKUH MODAL INSAN PENJAWAT AWAM
TANJUNG BALAU – Bermula daripada sekadar perbincangan ringkas, ia akhirnya membuahkan satu kolaborasi yang cukup holistik dan berjaya! Itulah gambaran kejayaan Program Jalinan AKRAB Tahun 2026 yang berlangsung dengan penuh gemilang di pesisir harmoni Tanjung Balau dan Kompleks Rakan Muda Desaru baru-baru ini.
Program selama 3 hari 2 malam yang berakhir pada 17 Mei 2026 ini merupakan manifestasi kerjasama strategik antara Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Negeri Johor.
Program ini telah menghimpunkan sekitar 90 orang peserta yang mewakili 43 agensi dan jabatan kerajaan dari seluruh semenanjung Malaysia terutama wilayah selatan. Sinergi rentas agensi ini membuktikan komitmen KEJORA, selaku agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), dalam melahirkan penjawat awam yang berdaya saing serta berkepimpinan responsif.
Sepanjang program berlagsung, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai pengisian holistik seperti Latihan Dalam Kumpulan (LDK), Slot Tazkirah Subuh, Amazing Race@Tg Balau, Art Therapy (Mencanting Batik), Malam Apresiasi, Sukan Rakyat dan 10,000 langkah, aktiviti Corporate Social Responsibility (CSR)-Cleaning Beach dan lain-lain. Semua aktiviti ini direka khusus untuk memperkukuh kompetensi dan jati diri, meningkatkan kesedaran kendiri, empati, dan komunikasi dalam suasana santai serta membina ekosistem sokongan psikologi yang mantap. Secara tidak langsung, program ini dapat menyedar dan menyerlahkan potensi kekuatan setiap peserta.
Majlis perasmian penutup program telah disempurnakan oleh Encik Mohd Fakharur Razziy bin Hazran, Pengurus Pentadbiran dan Pengurusan Sumber Manusia selaku wakil rasmi Pengurus Besar KEJORA. Turut hadir memberi sokongan penuh bagi menjayakan majlis ini ialah Encik Muhamad Nur bin Muhamad Yatim, Penolong Pengarah Ukur, JUPEM Negeri Johor.
Memetik kepada ucapan daripada Encik Mohd Fakharur Razziy bin Hazran, ahli AKRAB perlu terus menabur bakti, menjadi telinga yang sudi mendengar dan tangan yang sentiasa memimpin.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada barisan AKRAB KEJORA dan AKRAB JUPEM, para fasilitator yang diterajui oleh Encik Baharudin bin Kamaruddin (Penyelaras Program), dan semua peserta yang telah menjayakan program ini. Kesudian dan komitmen daripada peserta amatlah kami hargai.
KEJORA berharap agar “Sinergi Selatan” yang telah terbina ini akan terus dimanfaatkan secara berterusan melalui platform digital demi kelangsungan ilmu kaunseling organisasi. Moga coretan ukhuwah ini terus subur demi kecemerlangan penyampaian perkhidmatan awam.
Tanjung Balau indahnya nian,
Tempat bertemu mengikat ukhuwah,
Jalinan AKRAB titik permulaan,
Sinergi Selatan membawa berkah.






































































































