SINERGI STRATEGIK PERKASA PELAN INDUK BAHARU WILAYAH KEJORA
Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) terus melakar langkah progresif apabila berjaya menganjurkan Focus Group Discussion (FGD 1) bagi Kajian Semula Pelan Induk Pembangunan Wilayah KEJORA, sebagai pemangkin penting dalam merangka hala tuju pembangunan wilayah yang lebih bersepadu, berdaya tahan dan berimpak tinggi.
Program strategik yang diselaras sepenuhnya oleh Bahagian Perancangan Strategik selaku urus setia kajian ini telah menghimpunkan sinergi kukuh antara pihak perunding, APUDG Sdn. Bhd., bersama lebih 100 wakil agensi persekutuan, negeri dan daerah, pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan, pemain industri, penghulu mukim serta pemegang taruh utama Wilayah KEJORA. Penyertaan menyeluruh ini mencerminkan komitmen kolektif dalam memperkukuh perancangan pembangunan wilayah secara inklusif, kolaboratif dan berpaksikan data lapangan yang sahih.
FGD yang berlangsung selama dua (2) hari merangkumi tiga (3) slot utama telah menjadi platform strategik untuk mengesahkan dapatan kajian lapangan dan data sekunder, mengenal pasti isu serta cabaran semasa, di samping merungkai potensi pertumbuhan baharu yang boleh diteroka. FGD yang diadakan turut membuka ruang percambahan idea merentas sektor bagi membina kesepakatan awal ke arah penambahbaikan Pelan Induk Pembangunan Wilayah KEJORA yang lebih dinamik dan responsif.
Hasil perbincangan yang komprehensif ini telah memperkukuh rumusan isu dan potensi pembangunan secara lebih holistik, sekali gus memantapkan penyediaan laporan interim sebagai asas penting pembentukan pelan induk baharu yang lebih strategik dan berorientasikan masa hadapan.
Kejayaan penganjuran FGD ini bukan sekadar mencerminkan keupayaan KEJORA dalam menyelaras perancangan wilayah secara profesional dan berfokus, malah menzahirkan aspirasi besar ke arah merealisasikan visi KEJORA 2.0 dalam memperkasa Wilayah Johor Tenggara sebagai wilayah mampan, berdaya saing, berteknologi dan sejahtera, dengan rakyat sebagai teras pembangunan.
KEJORA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang idea, kepakaran dan komitmen sepanjang pelaksanaan program ini. Semangat kolaborasi yang dizahirkan menjadi bukti bahawa transformasi Wilayah KEJORA di bawah kerangka KEJORA 2.0 bukan sekadar perancangan, tetapi satu gerakan bersama menuju masa depan yang lebih gemilang.


















































