KEJORA terus memperkasa agenda pelancongan desa melalui jalinan Smart Partnership bersama Lembaga Muzium Negeri Sembilan. Sesi pertukaran dokumen memorandum kolaborasi tersebut telah disempurnakan dengan penuh simbolik dalam Majlis Penutup Perpatih Fest 2025.
Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA telah hadir ke Majlis Menandatangani dan Pertukaran Dokumen bersama YBrs. Encik Aziz bin Haji Mohd Gorip, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan disaksikan oleh YB Datuk Mohd Faizal bin Ramli, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Adat Istiadat Melayu, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan.
Kerjasama ini bertujuan memperkukuh usaha pemeliharaan warisan budaya Negeri Sembilan yang turut wujud di kawasan Kota Tinggi, Johor (Kampung Lukut, Kota Tinggi) di samping membuka ruang pertukaran ilmu dan warisan antara kedua-dua negeri. Melalui Smart Partnership ini, sejarah, budaya dan adat akan terus disebar, dipelajari dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Bersempena Perpatih Fest, KEJORA turut memeriahkan penganjuran melalui penyertaan reruai Muzium Nelayan Tanjung Balau yang membawakan pameran khas serta persembahan tradisi Johor seperti Ghazal dan Zapin serta demonstrasi masakan warisan negeri antaranya Lontong Darat, Laksa Johor, Tauhu dan tempe goreng bersama sambal kicap, pecel dan air teh jeruju dari Pulau Tanjung Surat.
KEJORA merakamkan penghargaan kepada Lembaga Muzium Negeri Sembilan atas kerjasama strategik ini, serta jemputan menyertai Perpatih Fest sebagai platform memperkenalkan khazanah budaya Johor ke peringkat yang lebih meluas.




































