TIMBALAN PERDANA MENTERI SEMPURNAKAN APC 2025, ANGKAT BUDAYA KERJA BERPRESTASI TINGGI
Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) telah menganjurkan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 & Santunan Kasih KEJORA pada 2 Julai 2026 di Lotus Desaru Beach Resort & Spa, Desaru.
Majlis penuh bermakna ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, sekali gus menjadi simbol penghargaan tertinggi kepada warga KEJORA yang telah mencurahkan bakti, komitmen dan dedikasi dalam memacu pembangunan Wilayah Johor Tenggara.
Majlis ini bukan sekadar meraikan kecemerlangan prestasi kerja, malah menjadi wadah menghargai jasa dan pengorbanan seluruh warga KEJORA dalam menterjemahkan dasar kerajaan kepada manfaat sebenar yang dirasai oleh rakyat. Dalam amanat beliau, YAB Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa penjawat awam perlu terus membudayakan prestasi kerja berimpak tinggi, memperkukuh integriti, mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat serta memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
Sebelum majlis penyampaian anugerah berlangsung, beliau turut menyempurnakan Pelancaran Buku Pelan Perancangan Strategik KEJORA 2026–2030, yang menjadi dokumen hala tuju baharu dalam memperkukuh agenda transformasi pembangunan Wilayah Johor Tenggara.
Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada 23 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025, 4 penerima Anugerah Perkhidmatan Lama 40 Tahun serta 3 pesara KEJORA yang diraikan pada majlis ini. Pengiktirafan tersebut membuktikan bahawa setiap usaha, pengorbanan dan dedikasi sentiasa dihargai serta menjadi pemangkin kepada budaya kerja cemerlang dalam organisasi. Semoga kejayaan yang diraikan hari ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga KEJORA untuk terus memperkukuh integriti, meningkatkan profesionalisme dan memberikan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan Wilayah Johor Tenggara.
Majlis turut dihadiri oleh YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) merangkap Ahli Parlimen Pengerang, YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Yang Berhormat Dato’ Haji Ashari bin Haji Kasnan, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor, Ahli-ahli Lembaga Pengarah KEJORA Anak Syarikat KEJORA, YBrs. Encik Mohd Gadaffie bin Abd Aziz, Pengurus Besar KEJORA, Pengurusan KEJORA, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan, anggota KEJORA dan anak syarikat KEJORA, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Wilayah KEJORA, para pemegang taruh serta rakan-rakan media.
Selaras dengan aspirasi KEJORA 2.0, KEJORA akan terus komited melahirkan warga kerja yang profesional, berdaya saing dan berpandangan jauh sebagai sebuah Institusi Berfikir, Pemegang Amanah kepada Tanah, Masa dan Rakyat serta platform kolaborasi yang memacu pembangunan wilayah secara mampan. Dengan semangat kebersamaan dan kecemerlangan, KEJORA akan terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan, memperkasakan pembangunan luar bandar dan mencipta nilai yang berkekalan demi kemakmuran Wilayah Johor Tenggara serta kesejahteraan rakyat.




















































































