UTM, KEJORA JALIN KERJASAMA BANGUN MODAL INSAN

 

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menjalinkan satu kerjasama strategik dengan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) bagi pembangunan modal insan di wilayah KEJORA.

Sebanyak RM1 juta dana telah disalurkan ke Tabung Endowmen UTM dalam tempoh tiga tahun menerusi Centre for Advancement in Rural Education Informatics (iCARE) UTM-KEJORA.

Naib Canselor UTM, Prof Ir Dr Wahid Omar berkata, kerjasama memberi peluang penyelidik melaksanakan aktiviti berimpak tinggi berasaskan penglibatan komuniti babit aspek penggunaan ICT dalam pendidikan komuniti luar bandar.

“Saya amat menghargai komitmen diberikan KEJORA dalam menjadikan UTM sebagai rakan kerjasama dalam memacu kecemerlangan dan keperluan strategik KEJORA.

“Secara spesifiknya kerjasama adalah di bawah projek Kelestarian Modal Insan Luar Bandar (KaMIL),” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UTM dan KEJORA.

Sementara itu, Pengurus Besar KEJORA, Norazman Othman berkata, menjadi matlmat KEJORA untuk memastikan pelajar di dalam wilayah KEJORA mendapat ruang, peluang dan manfaat sama seperti mereka yang tinggal di bandar.

“Dah tibanya masa KEJORA mengorak langkah untuk memastikan pelajar luar bandar dan wilayah KEJORA mendapat pendidikan yang sewajarnya.

“Kerjasama yang dijalin ini adalah untuk memastikan kesinambungan apa yang telah kami lakukan sebelum ini,” katanya.

Sejak 2012 hingga 2017, KEJORA telah mengeluarkan peruntukan berjumlah RM454,234 bagi menjayakan projek tersebut.

Dalam tempoh berkenaan, seramai 3,141 pelajar, 293 guru dan 712 fasilitator ataupun mentor terlibat dalam program itu.