RUMAH TERBUKA KEJORA DISAMBUT MERIAH

 

KOTA TINGGI 7 Julai – Majlis Rumah Terbuka KEJORA yang diadakan di Dataran Tasik Bandar Penawar dekat sini berlangsung meriah apabila lebih 4,000 hadir pada majlis yang bermula pukul 1 petang, kelmarin. (Khamis)

Hadirin dijamu dengan pelbagai hidangan seperti lemang, ketupat, kambing panggang, nasi beriani, rendang, murtabak, ais krim dan buah-buahan tempatan.

Selain masyarakat sekitar Bandar Penawar dan Pengerang turut memeriahkan majlis berkenaan ialah kakitangan dan pegawai jabatan kerajaan kawasan Pengerang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Rosleli Jahari dan ADUN Sedili, Rasman Ithnain.

Kehadiran tetamu disambut mesra oleh kakitangan yang diketuai Pengurus Besar KEJORA, Norazman Othman serta persembahan kugiran dan koir sepanjang majlis berlangsung.

Norazman yang ditemui gembira dengan kehadiran para tetamu berbilang kaum dan pelbagai peringkat usia yang mencerminkan sokongan padu mereka kepada jabatan itu.

“Alhamdulillah, walaupun disambut dengan sederhana tetapi cukup meriah.

“Nampaknya yang dekat, yang jauh hampir semua datang. Kami gembira sekali dengan sambutan dan sokongan yang diberikan rakyat di sini,” katanya yang turut menyampaikan sumbangan hari raya kepada 150 anak-anak yatim yang diraikan.