Melaka, 26 Mac Pencapaian hasil projek dua (2) pasukan daripada Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) telah berjaya mendapat penarafan Emas dalam Konvensyen Team Excellence Peringkat Mini (MTEx), Wilayah Selatan, 2018 yang telah berlangsung pada 26 Mac 2018 bertempat di Hotel Ramada Plaza, Melaka.

Melalui penglibatan konvensyen kali ini, KEJORA telah diwakili oleh dua Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) iaitu Kumpulan KIK Perdana daripada Bahagian Perancang Bandar Dan Desa dengan membentangkan tajuk projek “Kekerapan Berlaku Kerosakan Jalan Akibat Kerja-Kerja Utiliti”, manakala penyertaan sulung Kumpulan KIK The Apprentice daripada Bahagian Pelancongan mempertaruhkan tajuk projek “Kelewatan Menyediakan Laporan Homestay KEJORA”.

Hasil projek kedua-dua kumpulan iaitu ‘Cufix’ dan ‘Sistem MyHomestay’, telah berjaya mendapat penarafan Emas seterusnya membawa makna yang tersendiri kepada KEJORA kerana projek KIK yang dilaksanakan ini memberi ruang dan peluang untuk menambahbaik sistem penyampian yang lebih mantap, terancang dan efisien.

Kejayaan yang dicapai ini merupakan hasil daripada keutuhan semangat kerjasama berpasukan dan sokongan padu daripada pihak pengurusan KEJORA. Konvensyen Team Excellence Peringkat Mini (MTEx), Wilayah Selatan telah disempurnakan oleh Tn. Hj. Mohd Zaki Ibrahim, Pengarah MPC Wilayah Selatan dan sebanyak 19 penyertaan diterima yang merangkumi Sembilan (9) penyertaan daripada Sektor Swasta dan 10 penyertaan daripada Sektor Awam.

Semoga pencapaian sulung buat kedua-dua pasukan KIK ini menjadi inspirasi untuk terus mengekalkan momentum untuk memburu kejayaan ke peringkat seterusnya. Tahniah dan syabas diucapkan!.