Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) telah menerima kehadiran bagi Lawatan Perkongsian Ilmu – Sesi Latihan Sambil Belajar (On Job Training) Pihak Berkuasa Tempatan Pengerang pada 20 dan 26 Mac 2018 yang lalu.
Objektif utama sesi latihan sambal belajar tersebut adalah untuk memahami proses pembelajaran dan pelaksanaan dalam bidang Pengurusan Aset, Pengurusan Latihan, Pengurusan Rekod dan Pengurusan Kualiti di KEJORA selain dapat berkongsi pandangan dan pengetahuan berkaitan proses-proses kerja dan pelaksanaan bidang-bidang tersebut daripada kedua-dua Jabatan.
Sesi Taklimat tersebut telah diberikan oleh Pn. Suaraya Hani binti Sharan, Penolong Pengurus Kanan bagi sesi Tatacara Pengurusan Aset Alih Kerajaan dan En. Muhammad Redzuan bin Othman, Penolong Pengurus bagi sesi taklimat berkaitan Pengurusan Latihan, Pengurusan Kualiti dan Pengurusan Rekod KEJORA. Lawatan PBT Pengerang seramai 20 orang tersebut yang diketuai oleh En. Muhammad Suffian bin Abd Razak, Ketua Perunding & Kawalan Pemajuan Unit Pusat Setempat (OSC).
Selain perkongsian ilmu tersebut, pihak PBT Pengerang juga turut membuat lawatan ke Bilik Rekod KEJORA bagi mengenali dan memahami tatacara pengurusan rekod, penerangan sistem MySurat dan cara pengendalian dokumen terperingkat di KEJORA. Sesi ini turut disertai oleh Pn. Safiah binti Ithnin, Pengurus Pentadbiran Dan Pengurusan Sumber Manusia yang turut memberi informasi yang berkaitan pengurusan rekod kepada peserta lawatan.
Semoga segala maklumat yang disampaikan kepada anggota PBT Pengerang dapat diaplikasikan dalam pelaksanaan kerja seharian anggota PBT Pengerang agar segala prosedur yang telah ditetapkan Kerjaan dalam Pengurusan Aset Alih Kerajaan, Pengurusan Latihan Kakitangan, Pengurusan Rekod dan Pengurusan Kualiti dapat difahami dan dilaksanakan dengan lebih praktikal dan efisien.