Majlis Penyerahan 35 buah premis kedai Taman Bayu Damai, Pengerang daripada Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) kepada Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) telah berlangsung dengan jayanya pada hari ini. Majlis menandatangani dokumen penyerahan rasmi telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Mohd Hanafi bin Jantan, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KEJORA bersama YBhg. TS. Sr. Haji Zulkepli bin Haji Welang, Ketua Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta selaku wakil rasmi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pengerang.
Penyerahan aset yang sebelum ini diuruskan oleh KEJORA, kini secara rasmi diserahkan kepada pihak Majlis Perbandaran Pengerang bagi tujuan pengurusan, penyelenggaraan, serta pembangunan setempat secara lebih tersusun dan mampan. Penyerahan ini juga adalah untuk memastikan urus tadbir aset yang lebih cekap dan selaras dengan fungsi pihak berkuasa tempatan dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada komuniti.
Diharapkan penyerahan ini akan membuka lebih banyak kemajuan dan mendatangkan manfaat kepada masyarakat setempat.