USAHA PENAMBAHBAIKAN MUZIUM NELAYAN TANJUNG BALAU SECARA BERTERUSAN BAGI MENYOKONG TAHUN MELAWAT JOHOR DAN TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026
Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA, telah meluangkan masa mengadakan lawatan pemantauan ke Muzium Nelayan Tanjung Balau bagi meninjau perkembangan terkini kerja-kerja menaiktaraf galeri pameran di muzium. Projek ini merangkumi penyediaan dua segmen pameran baharu yang dijangka menambah nilai kepada pengalaman pengunjung.
Lawatan ini bertujuan memastikan pelaksanaan projek di tapak berjalan mengikut jadual yang ditetapkan, agar galeri dapat dibuka sepenuhnya kepada orang ramai menjelang penganjuran Tahun Melawat Johor dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
KEJORA berhasrat untuk menjadikan muzium ini sebagai pusat interpretasi sejarah dan budaya tempatan serta sebagai pusat rujukan dan pembelajaran yang lebih inklusif untuk generasi muda. Selain itu, penambahan segmen baharu ini diharapkan dapat menarik lebih ramai pelancong serta memperkenalkan warisan dan sejarah Negeri Johor ke peringkat yang lebih meluas.











