πŠπ„π‰πŽπ‘π€ π“π„π‘π”π’πŠπ€π 𝐀𝐆𝐄𝐍𝐃𝐀 ππ„πŒππ€π’πŒπˆπ€π 𝐁𝐔𝐓𝐀 𝐇𝐔𝐑𝐔𝐅 πƒπˆ 𝐋𝐔𝐀𝐑 𝐁𝐀𝐍𝐃𝐀𝐑

KLUANG, 11 Disember- Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) meneruskan agenda pembasmian buta huruf dikalangan pelajar luar bandar dengan mengadakan Program Pemantapan 3M KEJORA Tahun 2024 Peringkat Negeri Johor di Aeon Big, disini.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YBhg. Puan Hajah Azurawati binti Wahid, Pegawai Daerah Kluang. Di dalam ucapannya, beliau menegaskan murid masa kini lebih gemar aktiviti ‘hands-on’ dan alat bantu visual berbanding simbol abstrak manakala pembelajaran melalui bermain lebih sesuai dengan naluri dan fitrah kanak-kanak berdasarkan perspektif psikologi dan teori kognitif. Beliau turut menegaskan, perkara asas iaitu 3M ini perlu dibendung dan dilihat dengan mata hati kerana isu keciciran 3M tidak boleh dipandang enteng seperti melepaskan batuk di tangga.
Program yang dihadiri oleh 200 pelajar dengan bantuan 55 guru pengiring serta 45 pegawai PPD ini telah diadakan secara santai dengan setiap pelajar diberikan mengikut kumpulan untuk menyelesaikan beberapa tugasan berbentuk visual serta psikologi . Ini adalah bagi mengubah pemikiran minda serta menjadikan pelajar-pelajar ini merangsang perkembangan otak dan sambungan saraf. Selain itu juga, aktiviti ini memerlukan koordinasi dan keseimbangan menyumbang kepada peningkatan kebolehan kognitif.
Sebelum itu, YBrs. En. Mohd Hanafi bin Jantan, Pengurus Perancangan Strategik mewakili Pengurus Besar dalam ucapannya menyatakan, kolaborasi antara KEJORA bersama JPNJ serta beberapa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seperti PPD Kota Tinggi, PPD Kluang, PPD Kulai, PPD Batu Pahat, PPD Muar, PPD Tangkak, PPD Segamat dan PPD Pontian menunjukkan betapa seriusnya KEJORA dalam membanteras 3M ini terutama di dalam Wilayah Johor Tenggara.
Turut hadir pada hari ini ialah YBhg. Tuan Haji Yahya bin Mohamad, Timbalan Pengarah (Sektor Pengurusan Sekolah), Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Wakil Pegawai Pendidikan Daerah, Pengurusan KEJORA serta anggota KEJORA.
Ingatlah, “Setiap pengalaman dalam hidup membawa pelajaran. Jangan terlalu terguris oleh kesilapan. Belajar daripadanya dan terus bergerak ke hadapan”.