TAMAN PERMATA LAYANG: REALISASI IMPIAN RUMAH PERTAMA MAMPU MILIK UNTUK MASYARAKAT LUAR BANDAR
KLUANG, 31 Mei – KEJORA terus menzahirkan komitmen menyediakan kediaman yang berkualiti dan mampu milik kepada penduduk luar bandar. Menerusi anak syarikatnya, Kejora Land Development Sdn. Bhd. (KLDSB), KEJORA telah berjaya membangunkan Projek Perumahan Taman Permata Layang di Layang-Layang, Simpang Renggam yang telah siap sepenuhnya dan memperoleh Sijil Layak Menduduki (CCC) pada Mei 2025.
Projek ini menawarkan 125 unit rumah kediaman yang kesemuanya jenis banglo dan 7 unit kedai bagi memenuhi keperluan perumahan serta merancakkan aktiviti ekonomi tempatan. Antara keunikan projek ini ialah ia merupakan salah satu projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang pertama di negeri ini yang keseluruhan unit di bawah dasar kerajaan adalah jenis banglo.
Projek ini dibangunkan hasil kerjasama strategik antara KEJORA, Kerajaan Negeri Johor dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Ia bertujuan menyediakan pilihan kediaman selamat kepada penduduk Kampung Paya yang sebelum ini sering terkesan dengan bencana banjir, sekaligus menyokong dasar kerajaan untuk memperluas pemilikan rumah pertama kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Pada hari ini menyaksikan YAB Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi KEJORA, telah sudi hadir menyampaikan Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR) kepada 41 orang penerima.
Turut hadir, YB Dato Ir Hasni bin Mohammad, Ahli Parlimen Simpang Renggam, YB Dato’ Zahari bin Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, YB Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, YBhg. Dato’ Dr Roslan bin Mahmood, Setiausaha Bahagian Kanan Khidmat Pengurusan KKDW sebagai wakil rasmi Ketua Setiausaha KKDW, Ahli Lembaga Pengarah KEJORA dan Anak Syarikat KEJORA, pimpinan tempatan, agensi pelaksana serta penduduk sekitar.
Terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan projek ini dari peringkat perancangan, pelaksanaan hingga ke penyerahan hari ini. KEJORA percaya, pembangunan perumahan seperti ini bukan sekadar membina rumah, tetapi membina harapan, kestabilan dan masa depan masyarakat luar bandar.

































