𝐊𝐄𝐉𝐎𝐑𝐀 𝐇𝐀𝐃𝐈𝐑 𝐃𝐈 𝐏𝐄𝐑𝐇𝐈𝐌𝐏𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐒𝐎𝐋𝐈𝐃𝐀𝐑𝐈𝐓𝐈 𝐁𝐄𝐑𝐒𝐀𝐌𝐀 𝐑𝐀𝐊𝐘𝐀𝐓 𝐏𝐀𝐋𝐄𝐒𝐓𝐈𝐍

Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) telah turut hadir di Perhimpunan Solidariti Bersama Rakyat Palestin yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil pada 4 Ogos 2024.
Perhimpunan yang dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia antara lainnya adalah untuk menyampaikan mesej bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh dan menyokong Palestin.
KEJORA mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman ke atas penduduk Palestin dan berdoa agar bumi Palestin kembali aman.

𝐊𝐄𝐉𝐎𝐑𝐀 𝐒𝐀𝐍𝐓𝐔𝐍𝐈 𝐌𝐔𝐑𝐈𝐃 𝐁𝐄𝐑𝐊𝐄𝐏𝐄𝐑𝐋𝐔𝐀𝐍 𝐊𝐇𝐀𝐒 𝐃𝐀𝐄𝐑𝐀𝐇 𝐊𝐎𝐓𝐀 𝐓𝐈𝐍𝐆𝐆𝐈

Di dalam memastikan pembangunan modal insan dalam wilayah KEJORA sentiasa diberikan perhatian dan sokongan maka Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) pada hari ini turut bersama-sama hadir dan menjayakan Karnival Outreach Inklusif dan Kebolehpasaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Daerah Kota Tinggi 2024 pada 30 Julai 2024 di Plaza Kota Tinggi, Johor anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi dan Jabatan Pelajaran Negeri Johor serta disokong Oleh beberapa pihak jabatan kerajaan dan swasta.
Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA telah menyempurnakan upacara perasmian karnival tersebut. Di dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa, bermula tahun 2022, KEJORA telah mengambil inisiatif untuk menyantuni golongan sasar iaitu Anak-Anak Berkeperluan Khas melalui Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Wilayah KEJORA dengan penganjuran program Terapi Psikomotor dan Minda Anak-Anak Berkeperluan Khas Wilayah KEJORA.
Beliau menambah, kolaborasi antara KEJORA dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang selamat ini terjalin erat turut menitik beratkan kecemerlangan akademik dan prestasi pembelajaran anak-anak murid wilayah KEJORA melalui pelaksanaan Karnival 3M (membaca,menulis,mengira) Wilayah KEJORA yang dikhususkan kepada murid-murid Pemulihan Khas.
Sebelum itu, semasa ucapan aluan oleh YBrs. En. Noor Azam bin Yusoff, Timbalan Pengarah Pendidikan Daerah Kota Tinggi, beliau menyatakan rasa keterujaan dan bangga atas kehadiran Pengurus Besar KEJORA yang sentiasa memberi sokongan kepada program dan aktiviti yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi. Dengan ini, KEJORA dapat melihat secara dekat serta dapat membantu golongan sasar yang berada di dalam wilayahnya dengan tepat. Beliau juga mewakili Tuan Pegawai pendidikan Daerah Kota Tinggi turut berterima kasih kepada KEJORA yang selama ini membantu Murid Berkeperluan Khas Daerah Kota Tinggi terutamanya dalam memastikan kebolehpasaran mereka selepas ini tidak diabaikan.
Turut hadir di dalam majlis perasmian ini adalah YBhg. Puan Nor Haliza bt Saibun, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pelajaran Negeri Johor, YBrs. Encik Tarmizi bin Muhammad dan Puan Sallina binti Kemis, Penolong PPD Pendidikan Khas (Pembelajaran), PPD Kota Tinggi, YBrs. En. Mohd Fakharur Razziy bin Hazran, Pengurus Pembangunan Sosial & Pemajuan Desa KEJORA, wakil Pengurusan Plaza Kota Tinggi, para guru pengiring, ibu dan bapa dan murid-murid berkeperluan khas dalam Daerah Kota Tinggi.
Menjadi harapan KEJORA agar penyediaan pendidikan yang inklusif dan latihan vokasional yang disesuaikan dengan Murid Berkeperluan Khas ini dapat membantu murid-murid bagi mencapai potensi penuh mereka dan seterusnya meningkatkan kebolehpasaran anak-anak ini di masa hadapan.
“Miracles Do Happen”

𝐂𝐀𝐁𝐔𝐓𝐀𝐍 𝐔𝐍𝐃𝐈 𝐓𝐀𝐖𝐀𝐑𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐏𝐑𝐎𝐆𝐑𝐀𝐌 𝐏𝐄𝐑𝐔𝐌𝐀𝐇𝐀𝐍 𝐑𝐀𝐊𝐘𝐀𝐓 𝐓𝐄𝐑𝐌𝐈𝐒𝐊𝐈𝐍 (𝐏𝐏𝐑𝐓) 𝐃𝐀𝐄𝐑𝐀𝐇 𝐊𝐎𝐓𝐀 𝐓𝐈𝐍𝐆𝐆𝐈 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐋𝐔𝐀𝐍𝐆

Sesi cabutan undi bagi pelaksanaan Kerja-Kerja Cadangan Bina Baru & Baikpulih Rumah Di Bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Di Daerah Kota Tinggi & Kluang Bil.03/2024 telah diadakan pada 30 Julai 2024 di Dewan KEJORA, Bandar Penawar.
Cabutan undi ini merangkumi 13 kerja bina baru dan 12 kerja baik pulih PPRT.
Sepanjang tempoh RMK12 (2020 – 2024) KEJORA telah membantu 308 orang penerima bantuan PPRT melalui penyaluran peruntukan daripada pihak KKDW dengan pecahan 70 unit bina baharu rumah dan 238 unit baik pulih rumah.
Tahniah dan syabas kepada semua kontraktor yang berjaya dalam tawaran kerja KEJORA melalui proses cabutan undi yang diadakan.
Menjadi harapan KEJORA agar penyiapan kerja-kerja ini akan ‘mengukir senyuman’ diwajah penerima projek-projek ini serta merealisasikan elemen kesejahteraan luar bandar terutama di dalam Wilayah KEJORA.

𝐊𝐄𝐉𝐎𝐑𝐀 𝐁𝐄𝐒𝐓 𝐊𝐄 𝐏𝐄𝐑𝐒𝐀𝐃𝐀 𝐀𝐍𝐓𝐀𝐑𝐀𝐁𝐀𝐍𝐆𝐒𝐀

🇲🇾🇸🇬Malaysia Fest, Singapura 🇲🇾🇸🇬sedang berlangsung pada 25-28 Julai 2024 (Khamis-Ahad) bertempat di Singapore Expo Hall 5A & 5B, Changi
Acara tahunan ini merupakan anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Penyertaan kali ini merupakan tahun ke-3 penyertaan KEJORA dalam acara tahunan ini. KEJORA telah turut bersama PUJB di Pavilion Johor.
Program ini merupakan platform untuk mempromosikan produk IKS, perkhidmatan, kosmetik, dan pelancongan Malaysia khusus serta pemadanan perniagaan ke pasaran global khususnya di Singapura, semua ada di sini untuk anda!
Jom singgah di Malaysia Fest, Singapura dan sokong produk usahawan KEJORA! Di booth Pavilion Johor usahasama @PUJB dan KEJORA
2 usahawan KEJORA terlibat membuka reruai jualan iaitu:-
1) Khayra Foods Sdn Bhd (Booth A8)
2) Nouriwellness (Booth A2)
Sehingga hari ini jumlah keseluruhan Data Jualan Usahawan (DJU) sebanyak $40,000.00. Jom, temui kami di booth di Booth Pavilion Johor

KEJORA SANTUNI DELIGASI BENGKEL PEMUKIMAN KKDW TAHUN 2024

BANDAR PENAWAR, 24 Julai – Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) menyantuni deligasi bengkel Pemukiman Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) Tahun 2024 di Bayu Balau Beach Resort.
Ketibaan YB Datuk Hjh Rubiah binti Hj Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa & Wilayah serta deligasi telah disantuni oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA dan Pengurusan KEJORA. Majlis pada malam ini disajikan dengan makanan ala Johor serta tetamu juga turut didendangkan dengan irama malar segar dari KEJORA Band.
Turut hadir pada majlis ini ialah Setiausaha Bahagian Kanan KKDW, Ketua-Ketua Agensi KKDW, Setiausaha Bahagian, Pengarah-Pengarah PKN Negeri, Pengurusan KEJORA serta wakil-wakil bahagian KKDW.
KEJORA merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua deligasi yang sudi hadir di majlis ini.

𝐋𝐀𝐅𝐀𝐙 𝐈𝐊𝐑𝐀𝐑 𝐁𝐄𝐁𝐀𝐒 𝐑𝐀𝐒𝐔𝐀𝐇 (𝐈𝐁𝐑) 𝐓𝐀𝐇𝐔𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟒, 𝐁𝐔𝐊𝐓𝐈 𝐊𝐄𝐉𝐎𝐑𝐀 𝐓𝐎𝐋𝐀𝐊 𝐑𝐀𝐒𝐔𝐀𝐇

BANDAR PENAWAR, 22 Julai – Seluruh warga kerja Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai usaha murni ke arah peningkatan integriti sekaligus menjamin perjalanan tadbir urus KEJORA supaya lebih berprestasi tinggi.
Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Tahun 2024 ini telah diadakan di Dewan KEJORA dengan disempurnakan oleh Pengurus Besar KEJORA, Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil dan disaksikan oleh Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Negeri Johor, YBhg. PKPj Sheikh Hamadi bin Sheikh Abdul Hamid dan pegawai-pegawai SPRM Negeri Johor.
Bacaan Ikrar Bebas Rasuah yang diketuai oleh Akauntan Kanan, Bahagian Kewangan, Encik Mohd Rasyiddiq Bin Mohd Shafie. Ikrar Bebas Rasuah ini merupakan program tahunan KEJORA bagi memastikan warga kerja KEJORA terus komited menolak dan membenci sebarang aktiviti rasuah dalam jabatan.
Seiring dengan Ikrar Bebas Rasuah ini, satu ceramah pengukuhan integriti bertajuk “Kesalahan-Kesalahan Dibawah Akta SPRM 2009” telah disampaikan oleh PsK Azmi bin Yusuf, Penguasa Kanan, SPRM Negeri Johor.
Sebelum itu, disebelah pagi telah berlangsung Majlis Perhimpunan Bulanan KEJORA Bagi Bulan Julai 2024. Pengurus Besar KEJORA, Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil berpesan agar semua pegawai dan kakitangan KEJORA menjaga kesihatan mental (mental health) termasuk pengurusan stress. Pelbagai usaha boleh dibuat antaranya, berehat dan beriadah, berkonvoi secara berhemah, bersukan dan sebagainya. Janganlah kita terlalu sibuk dengan tugas sehingga kita abaikan kesihatan yang Allah kurniakan kepada kita, ujarnya.
Di dalam Majlis Perhimpunan Bulanan ini juga, 3 pasangan Mentor dan Menti di bawah Program Pementoran KKDW Tahun 2024 menerima sijil lantikan masing-masing.
Ingatlah! “Tugas kita bukan mudah, kita akan sentiasa dipantau, diperhatikan dan diadili rakyat atas kebolehan kita melaksanakan tugas dan amanah. Kita akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang dilakukan oleh anggota-anggota tubuh kita pada hari kiamat kelak dan setiap anggota tubuh akan menjadi saksi tentang apa yang telah kita lakukan semasa di dunia”.

𝐊𝐔𝐑𝐒𝐔𝐒 𝐏𝐄𝐌𝐀𝐍𝐃𝐔𝐀𝐍 𝐃𝐄𝐅𝐄𝐍𝐒𝐈𝐅 𝐃𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐄𝐍𝐃𝐀𝐋𝐈𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐍𝐃𝐄𝐑𝐀𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐉𝐎𝐑𝐀

KOTA TINGGI – Kursus Pemanduan Defensif Dan Pengendalian Kenderaan KEJORA telah diadakan pada 12 hingga 14 Julai 2024 bertempat di Savanna Hill Resort, Ulu Tiram, Johor
Kursus yang dihadiri seramai 30 orang pemandu ini diadakan dengan kerjasama penceramah SAC Consultancy Sdn Bhd bersama-sama dengan Pegawai Bahagian Keselamatan, JPJ Negeri Johor. Tujuan utama kursus ini diadakan adalah bagi meningkatkan kesedaran berkaitan kepentingan pemanduan defensif dan cara pengendalian kenderaan yang betul dan tepat.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua peserta yang telah melibatkan diri dalam kursus ini dengan jayanya. TAHNIAH.

𝐊𝐄𝐉𝐎𝐑𝐀 𝐓𝐄𝐑𝐈𝐌𝐀 𝐒𝐈𝐉𝐈𝐋 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐇𝐀𝐑𝐆𝐀𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐃𝐈𝐆𝐈𝐓𝐀𝐋𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐔𝐑𝐔𝐒𝐀𝐍 𝐑𝐄𝐊𝐎𝐃 𝐒𝐄𝐊𝐓𝐎𝐑 𝐀𝐖𝐀𝐌 – 𝐃𝐈𝐆𝐈𝐓𝐀𝐋 𝐃𝐎𝐂𝐔𝐌𝐄𝐍𝐓 𝐌𝐀𝐍𝐀𝐆𝐄𝐌𝐄𝐍𝐓 𝐒𝐘𝐒𝐓𝐄𝐌 𝟐.𝟎 (𝐃𝐃𝐌𝐒 𝟐.𝟎)

Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) telah menerima Sijil Penghargaan Pendigitalan Pengurusan Rekod Sektor Awam – Digital Document Management System 2.0 (DDMS 2.0).
Sijil penghargaan ini telah disampaikan oleh Encik Haizad bin Samian selaku wakil dari Jabatan Digital Negara(JDN) kepada Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA.
Dalam masa yang sama, bermula dari 17 hingga 18 Julai 2024 telah berlangsungnya Bengkel Penggunaan Digital Document Management System 2.0 (DDMS 2.0) KEJORA di Bilik Taklimat Ibu Pejabat KEJORA. Seramai 50 orang anggota KEJORA yang terdiri daripada Pegawai Rekod, Kerani Rekod dan Setiausaha Pejabat telah menyertai bengkel ini.
Sekalung penghargaan kepada pegawai Bahagian Pembangunan Aplikasi, Jabatan Digital Negara iaitu Encik Haizad bin Samian, Penolong Pengarah Kanan, Cik Siti Noorafishah binti Abd Latif, Penolong Pengarah dan Puan Hafiza binti Harun, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat yang sudi berkongsi ilmu bersama anggota KEJORA.
KEJORA begitu optimis dalam meneroka ruang pembaharuan teknologi kearah kesinambungan inisiatif mentransformasikan KEJORA ke tahap yang terbaik serta sentiasa menambahbaik proses pengurusan rekod dari masa ke semasa.

𝐒𝐄𝐋𝐀𝐌𝐀𝐓 𝐃𝐀𝐓𝐀𝐍𝐆 & 𝐒𝐄𝐋𝐀𝐌𝐀𝐓 𝐁𝐄𝐑𝐓𝐔𝐆𝐀𝐒 𝐏𝐄𝐑𝐒𝐎𝐍𝐄𝐋 𝐌𝐘𝐒𝐓𝐄𝐏 𝐊𝐄𝐉𝐎𝐑𝐀

Selamat datang dan selamat bertugas kepada 4 anggota baharu Personel MySTEP KEJORA yang telah melaporkan diri pada 15 Julai 2024.
Mereka yang melaporkan diri ini terdiri daripada Kumpulan Pengurusan dan Profesional (2 orang) dan Kumpulan Pelaksana (2 orang).
Pengurus Besar KEJORA, Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil telah menyampaikan amanat dan nasihat kepada semua Personel MySTEP yang antara lainnya mahukan anggota yang dilantik perlulah sentiasa melindungi kerahsiaan dokumen dan maklumat rahsia rasmi serta tidak menggunakan medium media sosial dalam sebarang urusan yang melibatkan kerahsiaan jabatan.
Pengurus Besar KEJORA juga mengharapkan agar anggota MySTEP dapat menunjukkan prestasi yang baik serta menimba ilmu dan pengalaman yang sebaiknya sepanjang berkhidmat di KEJORA.
Pertemuan ini turut disertai dengan lafaz ikrar Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88] yang disaksikan oleh Pengurus Besar KEJORA dan Pengurus Pentadbiran & Pengurusan Sumber Manusia sebelum menandatangani akujanji ini.
Selamat Bertugas buat semua Personel MySTEP KEJORA.

5 AGENDA BESAR JADI TUMPUAN KKDW TAHUN INI

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) telah mengadakan Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di Grandball Room, Premiera Hotel pada hari ini.
YAB Timbalan Perdana Menteri I dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi telah menyampaikan ucaptama di majlis ini. Dalam ucapannya, beliau telah menggariskan tujuh langkah utama yang perlu digarapkan oleh semua warga KKDW antaranya:-
1. Proaktif Dalam Melaksanakan Tugasan;
2. Mencipta Idea di Luar Kebiasaan;
3. Meluncur Dengan Strategi;
4. Komited Mencapai Matlamat;
5. ‘Follow-up, Follow Through’;
6. Pemasaran Berkesan; dan
7. Perbaiki dan Refleks.
Selanjutnya, YAB TPM juga turut menekankan lima fokus utama yang harus menjadi tumpuan agenda Kementerian antaranya:-
1. Memperkasa dan Mempromosi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
2. Memangkin Pembangunan Halal Negara.
3. Memperkasa Agenda Huffaz Negara.
4. Menyantuni Agenda Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB).
5. Menyelami Nadi Ekonomi Gig Negara.
Senada dengan keyakinan YAB TPM, bahawa dengan dedikasi dan komitmen semua warga KKDW termasuk KEJORA, perubahan yang signifikan dan memberi manfaat besar kepada masyarakat khususnya warga desa akan dapat dicapai.
Majlis perhimpunan pada hari juga menyaksikan persembahan daripada 2 agensi di bawah KKDW iaitu KEJORA dan MARA. KEJORA telah membawakan teater muzikal bertajuk ‘Secubit The Muzikal’ yang mana ianya berkisar mengenai evolusi perubahan kehidupan yang bermula dari kehidupan petani sehingga menjadi usahawan rempah.
Turut hadir dalam Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW ini ialah YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa & Wilayah, YBhg. Datuk Muhd Khair Razman bin Mohammed Anuar, Ketua Setiausaha KKDW, YBhg. Datuk Mas Rizal bin Helmi, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA, Ketua-Ketua Agensi KKDW, Setiausaha-Setiausaha Bahagian KKDW, Pengurusan KEJORA, Pengurusan MARA serta anggota KEJORA.