DARI SYAABAN KE RAMADAN : MELANGKAH DENGAN JIWA YANG BERSIH

KOTA TINGGI, 14 Februari – Bagi mengambil keberkatan Nisfu Syaaban 1446H, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) melalui Unit Integriti telah mengadakan Program Ceramah Pengukuhan Integriti Bil. 1 Tahun 2025 bertajuk Dari Syaaban ke Ramadan : Melangkah Dengan Jiwa Yang Bersih di Bilik Taklimat, Ibu Pejabat KEJORA.
Ceramah Integriti Keagamaan ini telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Ishaq Hanis bin Ismail@Asmail, Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, Jabatan Agama Islam Negeri Johor. Antara initipati kandungan ceramah ini adalah berkaitan nilai kesyukuran, erti cemburu dan hasad dengki serta keberkatan bulan Syaaban sebelum datangnya bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Dengan hati yang bersih dan jiwa yang ikhlas, kita dapat memaksimakan ibadah di dalam bulan Ramadan serta meraih pahala yang berlipat ganda. Maka, marilah kita melangkah dari Syaaban ke Ramadan dengan jiwa yang bersih, penuh harapan dan tawakal kepada Allah SWT.
Imam As- Syafi’i di dalam Kitabnya al Umm menyatakan:
وَبَلَغَنَا أَنَّهُ كَانَ يُقَالُ: إنَّ الدُّعَاءَ يُسْتَجَابُ فِي خَمْسِ لَيَالٍ فِي لَيْلَةِ الْجُمُعَةِ، وَلَيْلَةِ الْأَضْحَى، وَلَيْلَةِ الْفِطْرِ، وَأَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَجَبٍ، وَلَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ
Telah sampai kepada kami bahawa dikatakan: Sesungguhnya doa dikabulkan oleh Allah SWT pada 5 malam iaitu :
1- Malam Jumaat,
2- Malam Aidil Adha,
3- Malam Aidilfitri,
4- Malam Pertama Rajab
5- Malam Nisfu Syaaban.
Sebelum itu, Kelab Anggota KEJORA (KAK) turut mengadakan majlis bacaan Yasin dan Tahlil yang dipimpin oleh Uztaz Muhammad Nazif bin Muhammad Nazim, Imam Masjid Bandar Penawar. Kedua-dua program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada Pengurusan KEJORA serta seluruh warga kerja KEJORA.
Dengan adanya program seperti ini, KEJORA berharap dapat terus melahirkan warga kerja yang bukan sahaja cekap, tetapi juga berintegriti tinggi, dalam usaha mencapai visi dan misi organisasi secara berkesan dan bertanggungjawab.