KEJORA KOMITED PERANGI RASUAH

KEJORA telah mengadakan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) pada 16 April 2018. Majlis ini dilaksanakan sebagai salah satu usaha memerangi rasuah di kalangan anggota KEJORA. Lafaz Ikrar Bebas Rasuah telah diketuai oleh YBrs. Encik Norazman bin Othman, Pengurus Besar KEJORA diiringi Tuan Haji Samsudin bin Hassan, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) serta Encik Mohd Hanafi bin Jantan, Ketua Unit Integriti serta seluruh warga kerja KEJORA.

Tuan Zuber bin Hj. Zainal, Timbalan Pengarah Pencegahan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor telah menjadi saksi dalam acara lafaz IBR ini yang berlangsung di Dewan Bandaran, Bandar Penawar.

“IBR merupakan satu inisiatif yang dapat memperlihatkan kejujuran, keikhlasan dan komitmen kerja selaku penjawat awam. Sesungguhnya prinsip integriti dan akauntabiliti amat penting dan perlu dihayati serta dijadikan budaya serta amalan oleh seluruh warga kerja KEJORA. Pengurusan KEJORA berharap agar ikrar ini dapat dihayati, dijiwai dengan telus dan dizahirkan dengan perbuatan yang penuh berintegriti”, En. Norazman bin Othman, Pengurus Besar KEJORA.

Turut dilaksanakan dalam program ini adalah ceramah pencegahan rasuah yang telah disampaikan oleh Tuan Koo Lik Chi, Penolong Pesuruhjaya SPRM Johor dengan tajuk ceramahnya “Pelakuan Tidak Berintegriti Membawa Padah” serta Majlis Perhimpunan Bulanan KEJORA bagi Bulan April 2018.

Semoga aktiviti serta ikrar yang telah dilafazkan ini dapat menjadi penghalang kepada semua warga KEJORA agar tidak melakukan perkara-perkara yang menyumbang kepada berlakunya rasuah, salahguna kuasa serta penyelewengan. KEJORA Anti Rasuah!