LAWATAN KERJA KETUA SETIAUSAHA KKDW: MENELUSURI HALA TUJU PEMBANGUNAN IKS BANDAR PENAWAR

YBhg. Datuk Muhd Khair Razman bin Mohamed Annuar, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), telah mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek Pembinaan Premis Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Bandar Penawar pada 30 Jun 2025. Kehadiran delegasi YBhg. Datuk KSU bersama Setiausaha Bahagian Kemajuan Tanah dan Wilayah, Pengarah Pejabat KKDW Negeri Johor, dan pegawai- pegawai kanan KKDW telah disambut mesra oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA bersama barisan Pengurusan KEJORA.
Lawatan ini merupakan komitmen berterusan pihak Pengurusan Tertinggi KKDW dan KEJORA dalam memastikan pelaksanaan projek dijalankan mengikut pelan pembangunan serta mematuhi jadual yang ditetapkan.
Dalam sesi lawatan ini, YBhg Datuk KSU telah dimaklumkan tentang status semasa projek dan seterusnya dibawa melawat ke sekitar kawasan projek bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang pembangunan projek ini secara keseluruhan.
Projek ini merupakan usaha KEJORA untuk menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat dan Halal Hub KEJORA di bawah Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030-platform strategik bagi melonjakkan usahawan tempatan ke peringkat lebih tinggi.