GELOMBANG KESEDARAN ALAM SEKITAR DI PANTAI TANJUNG BALAU

GELOMBANG KESEDARAN ALAM SEKITAR DI PANTAI TANJUNG BALAU

Lembaga Kemajuan Johor Tenggara telah menerima kunjungan daripada Lions Clubs International bagi menjayakan penganjuran program “Waves of Change – Beach Cleaning” yang berlangsung di Pantai Tanjung Balau dengan penyertaan kira-kira 560 peserta dari seluruh negara.
Program ini turut dihadiri oleh YBrs. Encik Hanafi Bin Jantan, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), KEJORA.
Program ini menghimpunkan ahli Lions, pelajar, wakil korporat serta orang awam dalam satu usaha murni memelihara kelestarian alam sekitar. Dalam tempoh beberapa jam sahaja, peserta berjaya mengutip pelbagai sisa buangan seperti plastik dan jaring, sekali gus memberi gambaran jelas tentang isu pencemaran laut yang semakin membimbangkan.
Walaupun sasaran asal untuk mencipta rekod Malaysia dengan penyertaan seramai 1,500 peserta tidak tercapai, program ini tetap memberi impak signifikan dari segi kesedaran dan penglibatan komuniti. Menurut Dr. Frankie Lim, “Kesedaran alam sekitar bukan tentang angka, tetapi kesanggupan setiap individu untuk bertindak.”
Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Johor 2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 dalam memperkukuh agenda pelancongan lestari serta pemeliharaan alam sekitar.