EKOPELANCONGAN WILAYAH KEJORA TARIK PERHATIAN ANTARABANGSA DI EXPO DUNIA 2025, OSAKA
Aura budaya dan keunikan desa Malaysia menjadi perhatian di pentas global apabila Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) menyertai Expo Dunia 2025 Osaka pada minggu yang dikhaskan untuk Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), dari 16 hingga 20 Jun 2025 di Pavilion Malaysia.
Dengan tema “Rural Charms, Cultural Wonders”, Minggu KKDW menyajikan empat segmen utama yang memukau pengunjung antarabangsa – iaitu Pelancongan Tradisional, Showcase Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Demonstrasi Kraftangan Orang Asli, serta Keusahawanan Desa di bawah KKDW.
Reruai KEJORA tampil dengan menggunakan pendekatan inovatif dalam mempromosikan pelancongan desa melalui teknologi interaktif dan digital. Penggunaan video imersif pengalaman realiti maya (VR) membawa pengunjung mengembara secara maya ke destinasi pelancongan desa KEJORA yang mempamerkan pesona semula jadi, budaya tempatan dan tarikan desa yang menawan seperti Pulau Tanjung Surat, Kampung Johor Lama, Muzium Nelayan Tanjung Balau dan Kampung Tanjung Serindit.
Aktiviti menarik lain yang turut disediakan adalah demonstrasi kraf dan budaya iaitu mencanting batik yang boleh disertai secara interaktif bersama pengunjung dan pameran replika Jong Tradisi serta paparan video promosi berdefinisi tinggi yang memperkenalkan pesona desa dan keindahan alam semulajadi di Wilayah KEJORA.
Terima kasih kepada KKDW serta lebih 40 ribu warga Osaka dan pelawat antarabangsa yang tidak putus-putus mengunjungi reruai KEJORA sempena Minggu KKDW di Pavillion Malaysia – Terus kunjungi kami di reruai KEJORA kerana sokongan anda adalah nadi kepada usaha kami memperkenalkan KEJORA sebagai destinasi pelancongan desa yang bertaraf dunia.