KEJORA TERUS KOMITED MEMPROMOSIKAN PELANCONGAN DESA KE PERSADA ANTARABANGSA DI OSAKA, JEPUN

KEJORA terus melangkah di pentas antarabangsa apabila satu delegasi rasmi yang diketuai oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA, mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Tourism Malaysia Osaka pada 16 Jun 2025. Turut mengiringi beliau ialah Encik Mohd Fakharur Razziy bin Hazran, Pengurus Pelancongan KEJORA, Datin Siti Azni binti Zakaria, Pengurus Teknologi Maklumat KEJORA, serta Encik Muhammed Iqbal bin Rosli, Penolong Kurator Muzium Nelayan Tanjung Balau. Kehadiran delegasi KEJORA disambut penuh mesra oleh Cik Kimiko Shimizu dan Encik Kenji Higashida dari pasukan pemasaran Tourism Malaysia Osaka.
Pertemuan strategik ini menjadi platform penting untuk KEJORA memperkenalkan produk pelancongan unik wilayah KEJORA ke pasaran Jepun seperti Kompleks Pelancongan Pantai Tanjung Balau yang mempunyai Tapak Warisan Geologi dan Muzium Nelayan Tanjung Balau, Ekopelancongan Pulau Tanjung Surat, kemudahan penginapan pelancongan KEJORA serta membolehkan potensi kerjasama lanjut dalam menyesuaikan penawaran pelancongan dengan minat pelancong Jepun, dan bagi menyokong inisiatif Tahun Melawat Johor 2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Hasil daripada pertemuan dua hala ini, Tourism Malaysia berpandangan bahawa KEJORA selaku peneraju pelancongan desa Wilayah Johor Tenggara mampu mengetengahkan produk-produk pelancongan desa ini ke persada antarabangsa dan bersetuju untuk bekerjasama dalam menghubungkan KEJORA bersama agensi pelancongan di Jepun.
Langkah ini mencerminkan komitmen KEJORA untuk memperkukuh kehadiran global sambil memacu pertumbuhan ekonomi desa melalui pelancongan yang mampan dan inklusif. KEJORA yakin bahawa kerjasama ini akan membuka lembaran baharu dalam memperkenalkan pesona wilayahnya kepada dunia.