LAWATAN PENANDA ARAS JAWATANKUASA AUDIT PERDA KE LEMBAGA KEMAJUAN JOHOR TENGGARA (KEJORA)
KOTA TINGGI, 12 Jun – Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) telah menerima kunjungan delegasi daripada Jawatankuasa Audit Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) pada 11 hingga 12 Jun 2025. Delegasi tersebut diketuai oleh YBrs. Encik Azize bin Taib, Pengerusi Jawatankuasa Audit PERDA.
Ketibaan delegasi di Ibu Pejabat KEJORA telah disambut oleh YBrs. Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), bersama ahli Jawatankuasa Audit KEJORA, YBrs. Encik Tuan Ahmad bin Tuan Wil dan YBrs. Puan Murni Rahayu binti Ahmad Anuar. Lawatan ini bertujuan untuk berkongsi pandangan serta maklumat berkaitan tadbir urus dan pelaksanaan peranan KEJORA.
Delegasi ini telah diperdengarkan taklimat berkaitan Pembangunan KEJORA oleh YBrs. Encik Mohd Hanafi bin Jantan, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) dan Taklimat Sistem Audit Dashboard KEJORA yang telah disampaikan oleh YBrs. Encik Mohamad Rizal bin Mohd Hidzir, Ketua Unit Audit Dalam KEJORA. Seterusnya, Mesyuarat Jawatankuasa Audit telah diadakan sebagai sebahagian daripada pengisian lawatan.
Delegasi turut dibawa melawat ke beberapa lokasi di bawah pentadbiran KEJORA, termasuk Muzium Nelayan Tanjung Balau, kawasan pelancongan di Kampung Johor Lama, serta kawasan Tanaman Campuran KEJORA di Penggeli Kecil, Kota Tinggi.




















