KEJORA MARTABATKAN WARISAN GASTRONOMI JOHOR DI PROGRAM RENTAK BERTANDAK ANTARABANGSA MELAKA 2025

Bandar Hilir, Melaka, 6 Julai 2025 — Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) terus gah melakar sejarah dalam usaha memelihara dan mempromosikan warisan negeri Johor apabila menyertai Program Rentak Bertandak Antarabangsa Melaka sempena Sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025, anjuran Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).
Penyertaan ini menampilkan sajian tradisional ikonik negeri Johor iaitu Laksa Johor, Nasi Ambang & Kuih Lopis, yang telah menerima sambutan menggalakkan daripada para pengunjung tempatan dan pelancong luar negara. Sajian ini bukan sahaja mencerminkan keunikan rasa Johor, malah membawa bersama nilai sejarah, identiti dan budaya masyarakat setempat yang diwarisi turun-temurun.
Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada usaha promosi awal Kempen Visit Johor 2026 dan Visit Malaysia 2026, selaras dengan aspirasi KEJORA untuk memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pelancongan budaya dan gastronomi yang berdaya saing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
KEJORA percaya bahawa warisan bukan sekadar tinggalan fizikal, tetapi turut merangkumi elemen budaya tidak ketara seperti makanan tradisional, yang berperanan besar dalam membentuk jati diri sesebuah masyarakat. Justeru, KEJORA akan terus komited memperkasa platform pameran, promosi dan kolaborasi yang mampu memartabatkan warisan tempatan ke peringkat lebih tinggi.