KEJORA TERUS MEMPERKASAKAN KONSEP PELANCONGAN BERASASKAN KOMUNITI (COMMUNITY-BASED TOURISM) MELALUI PENGANJURAN KURSUS HOMESTAY SERVICES QUALITY@KEJORA 2023

KEJORA melalui Bahagian Pelancongan KEJORA dengan kerjasama Koperasi Homestay Lonek Jempol Berhad (KOLONEK) telah menganjurkan Kursus Homestay Services Quality@KEJORA 2023 yang telah berlangsung selama tiga hari bermula pada 25 hingga 27 Julai 2023 bertempat di Homestay Kampung Lonek, Batu Kikir, Negeri Sembilan.
Kursus ini telah memberi bimbingan dan pendedahan kepada para peserta berkaitan pembangunan pakej yang telah disediakan oleh pihak koperasi seperti program keluarga angkat, demontrasi masakan, sukan rakyat, mengoca ikan, perkongsian pengalaman, program senaman, ronda-ronda kampung dan malam kebudayaan.
Homestay Kampung Lonek telah dipilih sebagai tempat kursus untuk dijadikan sebagai penanda aras (benchmarking) bagi mempelajari dan berkongsi segala pencapaian dan pengalaman yang ada dengan pelbagai anugerah yang diperolehi seperti Anugerah Homestay Terbaik Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2007, Anugerah Homestay Terbaik Negeri Sembilan Top 10 Malaysia 2010, ASEAN Homestay Awards 2016 dan Best Award World Homestay Organization Summit For Tourism 2019 serta penerima geran Program Desa Lestari Tahun 2014.
Kursus ini telah diserikan lagi dengan kehadiran YBhg. Dato’ Haji Mohd Rusdi bin Mohd Darus, Pengurus Besar KEJORA selaku perasmi majlis penutup. Turut hadir Puan Suraya Hani binti Sharan, Pengurus Pelancongan dan Encik Mohd Faiz bin Mohd Zin, Pengerusi Koperasi Homestay Lonek Jempul Berhad.
Pihak Pengurusan KEJORA merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada 28 peserta yang terlibat secara langsung dalam menjayakan kursus ini yang terdiri daripada :
i. Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Kg. Tanjung Surat;
ii. Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Kg. Tanjung Sedili;
iii. Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Kg. Tanjung Serindit;
iv. Jawatankuasa Homestay Kg. Mawai Baru;
v. Jawatankuasa Homestay Kg. Johor Lama; dan
vi. Anggota KEJORA yang terpilih.
Semoga dengan penganjuran kursus ini, diharapkan semua peserta yang hadir dapat meningkatkan mutu kualiti dalam memperkasakan pengurusan dan perkhidmatan homestay dan pengusaha pelancongan wilayah KEJORA serta memartabatkan sektor pelancongan di kawasan kampung masing-masing.