LAWATAN KERJA JAWATANKUASA AUDIT KEJORA KE LEMBAGA KEMAJUAN WILAYAH PULAU PINANG (PERDA) SEMPENA MESYUARAT KOLABORASI JAWATANKUASA AUDIT KEJORA
PULAU PINANG, 27 Februari – Delegasi Jawatankuasa Audit KEJORA yang diketuai oleh YB Senator Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Suleiman, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah KEJORA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Audit KEJORA telah mengadakan lawatan kerja ke Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA). Lawatan kerja turut dihadiri oleh YBhg. Datin Zaeidah binti Mohamed Esa, YBrs. Encik Tuan Ahmad bin Tuan Wil serta Encik Mohamad Rizal bin Mohd Hidzir, Ketua Unit Audit Dalam bersama anggota Unit Audit Dalam KEJORA.
Lawatan kerja ini merupakan sebahagian daripada aktiviti kolaborasi antara Jawatankuasa Audit KEJORA dan Jawatankuasa Audit PERDA yang bertujuan untuk berkongsi pengalaman, ilmu dan kepakaran berkaitan pelaksanaan pengauditan yang lebih berkesan sebagai usaha penambahbaikan pada masa akan datang.
Lawatan kerja ini telah disambut oleh Tuan Haji Anuar bin Shahab, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) PERDA, YBrs. Encik Azize bin Taib, Pengerusi Jawatankuasa Audit PERDA dan Puan Norasyikin binti Mat Isa, Ketua Unit Audit Dalam PERDA. Sesi lawatan kerja ini telah dibawa melawat PERDA-FOOD PARK bagi meninjau operasi dan inisiatif dalam membangunkan usahawan Bumiputera termasuk lawatan ke Agrotourism PERDA yang meliputi Sungai Kulim dan Sungai Perai. Delegasi turut diberi peluang mengikuti aktiviti ‘Kampung Trail’, mempelajari pembuatan makanan tradisional seperti tapai, madu kelulut dan dodol serta mencuba permainan tradisional seperti “cakplom” dan senapang bemban.


















