LAWATAN PENANDA ARAS WILAYAH KEDA

Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) telah mengadakan Sesi Lawatan Penanda Aras Wilayah KEDA pada 25 hingga 27 Januari 2022. Delegasi lawatan telah disambut baik oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dengan penganjuran sesi-sesi lawatan selama 3 hari.
Lawatan yang dijalankan merangkumi tiga aspek utama iaitu Lawatan Jalinan Korporat KEJORA – KEDA, Lawatan Penanda Aras Teknologi Sistem Pelupusan Sampah Luar Bandar Kg. Tok Pawang, Bedong, Kedah dan Lawatan Penanda Aras PROSPEK Kg. Sidam, Kulim, Kedah.
Bagi komponen pertama, Lawatan Jalinan Korporat KEJORA – KEDA, sesi lawatan ini dijalankan pada 25 Januari 2022 (Selasa) bertempat di Ibu Pejabat KEDA, pihak KEJORA telah diterangkan berkenaan fungsi dan peranan KEDA berkaitan aktiviti pembangunan luar bandar di Wilayah KEDA serta melihat Ibu Pejabat KEDA yang baharu di Jalan Langgar, Alor Setar, Kedah yang diketuai oleh Encik Daud Bin Abd. Rahman, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) serta pengurusan KEJORA.
Seterusnya pada 26 Januari 2022 ( Rabu) delegasi KEJORA telah dibawa melawat Teknologi Sistem Pengurusan Sisa Pepejal Luar Bandar di Kg. Tok Pawang, Bedong, Kedah. Pihak KEJORA telah didedahkan dengan teknologi pengurusan sistem pepejal yang mampu menjana pendapatan kepada penduduk setempat serta pengoperasian mesin asher. Selain itu, banyak manfaat dan penghasilan produk seperti kraftangan dan baja organik dapat dihasilkan.
Sesi lawatan pada 27 Januari 2022 (Khamis) diakhiri dengan mengunjungi Kg. Sidam, Kulim, Kedah yang merupakan projek rintis PROSPEK KPLB yang telah dilaksanakan di wilayah KEDA. Delegasi KEJORA telah dibawa melihat projek-projek PROSPEK terutamanya projek tanaman jagung yang merupakan niche produk bagi projek PROSPEK Kg Sidam. Sesi lawatan ini juga dibawa melihat projek usahawan – usahawan bimbingan yang telah berjaya mengeluarkan produk tempatan selain menjana pendapatan yang berterusan. Lebih manis lagi, sesi lawatan pada hari ketiga ini turut dihadiri Pegawai Daerah Muar, Tuan Haji Mustaffa Kamal Bin Dato’ Haji Shamsudin beserta delegasi Pejabat Daerah Muar.
Pihak KEJORA mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian pihak KEDA menerima kunjungan dari kami. Semoga sesi lawatan yang dijalankan mampu memberi rangsangan kepada pihak KEJORA untuk menjayakan pelaksanaan projek terutamanya pelaksanaan PROSPEK Mukim Jorak Panchor, Muar.
Ihsan gambar : Unit Komunikasi Korporat, KEDA