MAJLIS MENANDATANGI PERJANJIAN TAMBAHAN (MOA) ANTARA LEMBAGA KEMAJUAN JOHOR TENGGARA (KEJORA) DAN INSTITUT PENYELIDIKAN PERHUTANAN MALAYSIA (FRIM)
Majlis Menandatangi Perjanjian Tambahan (MOA) antara Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi Projek Kajian Penanaman Mengkuang telah berlangsung pada 24 Disember 2021 (Jumaat) bertempat di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
Menariknya, projek kajian penanaman mengkuang ini merupakan projek yang pertama dan projek perintis yang diusahakan oleh KEJORA bersama-sama pihak FRIM di Sebahagian Kawasan Pertanian Kampung Tuan Seh, Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor. Pengurus Besar KEJORA, Dato’ Haji Mohd Rusdi Bin Mohd Darus berkata, pelaksanaan projek kajian tanaman tersebut kerana ianya mempunyai potensi untuk dimajukan selain memenuhi permintaan bekalan bahan mentah oleh pengusaha kraftangan serta pembangunan masyarakat luar bandar khususnya dalam wilayah KEJORA dan sekitar.
Selain itu, pihak KEJORA sedang dalam tindakan untuk Membina dan Menyiapkan sebuah Pusat Pengumpulan dan Penghasilan Produk Kraftangan berasaskan mengkuang di kawasan yang sama seluas 1.5 ekar.
Tambahan pula, untuk menaikkan lagi penjenamaan semula produk mengkuang di mata dunia, KEJORA telah bersetuju dan meluluskan agar Projek Kajian Penanaman Mengkuang ini didaftarkan di dalam Malaysia Book of Record (MBOR) pada tahun 2022.