MAJLIS PERASMIAN HARI BELIA NEGARA PERINGKAT NEGERI JOHOR TAHUN 2024
BANDAR PENAWAR, 18 Mei – Majlis Perasmian Hari Belia Negara Peringkat Negeri Johor Tahun 2024 telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Mohd Hairi bin Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor di Dataran Tasik, Bandar Penawar.
Di dalam ucapan perasmian, YB Tuan Mohd Hairi bin Mad Shah mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang bertungkus lumus memastikan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Johor ini berjalan dengan lancar dan teratur. Beliau juga merasakan penganjuran sambutan seperti ini mampu membuka minda serta peluang-peluang kerjaya kepada belia terutama di Negeri Johor.
Antara pengisian utama Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Johor pada kali ini adalah penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) dan sesi penyerahan bantuan kepada para usahawan.
Selari dengan penyerahan ini juga, Pengurus Besar KEJORA, Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil telah menyerahkan cek sebagai simbolik permohonan geran Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) berjumlah RM200,000.00 kepada YB Tuan Mohd Hairi bin Mad Shah, Pengerusi Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor. Turut disampaikan adalah geran Program Start Right (PSR@KKDW) iaitu bantuan peralatan dan bimbingan selama 6 bulan berjumlah RM10,000.00 seorang kepada 10 orang usahawan belia Wilayah KEJORA.
YB Tuan Mohd Hairi bin Mad Shah juga sempat mengunjungi Dewan KEJORA untuk melihat dan menyantuni belia-belia di Karnival Kerjaya KEJORA yang juga merupakan salah satu pengisian kepada Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Johor Tahun 2024.
Turut hadir dalam majlis perasmian ini ialah, Yang Berhormat Tuan Aznan bin Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor merangkap ADUN Tanjung Surat, Yang Berhormat Datoβ Haji On bin Jabbar @ Jaafar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), YBhg. Tuan Hj Ahmad Nazir bin Hj Mohd Nasir, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Pengurusan KEJORA serta Ketua-Ketua Jabatan dan agensi Negeri Johor.
KEJORA berharap dengan penganjuran Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Johor Tahun 2024 ini memberikan satu suntikan semangat kepada belia-belia luar bandar dalam menghadapi gelombang Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).