MESYUARAT LEMBAGA PENGARAH, LEMBAGA KEMAJUAN JOHOR TENGGARA (KEJORA) BILANGAN 3 TAHUN 2024

Mesyuarat Lembaga Pengarah, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) Bilangan 3 Tahun 2024 telah diadakan pada 19 Disember 2024.
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Hj Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Pengerusi KEJORA.
Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr Pengerusi menyatakan bahawa, pelbagai inisiatif, perancangan, dan pencapaian yang telah dilaksanakan oleh KEJORA sepanjang tahun 2024 telah menunjukkan komitmen berterusan KEJORA dalam mendukung agenda reformasi perkhidmatan awam termasuk pengurusan kewangan yang berkesan, serta pembangunan wilayah secara inklusif dan mampan. Beliau menambah, dengan deretan kejayaan yang berprestij serta peruntukan yang diterima untuk Tahun 2025, KEJORA harus terus memperkukuh peranannya sebagai pemangkin pembangunan wilayah yang unggul. Adalah menjadi harapan agar usaha-usaha ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan bagi memastikan manfaatnya dinikmati oleh semua golongan sasar serta menyumbang kepada kemajuan negara secara keseluruhannya dan Negeri Johor amnya.
Mesyuarat turut dihadiri oleh ahli-ahli Lembaga Pengarah iaitu YB Tuan Aznan bin Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Merangkap ADUN Tanjung Surat, YBhg. Datin Zaeidah binti Mohamed Esa, Pengarah Bahagian Pertanian, Kementerian Ekonomi, YBrs. Tuan Ahmad bin Tuan Wil, Setiausaha Bahagian Prasarana, Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah, YBhg. Tuan Haji Mohammed Shakib bin Haji Ali, Pengarah Tanah Dan Galian Johor, YBrs. Puan Murni Rahayu binti Ahmad Anuar, Timbalan Setiausaha Bahagian, Sektor Dasar & Perancangan Strategik, kementerian Kewangan, YB Puan Fauziah binti Misri, ADUN Penawar, YBhg. Datuk Haji Mohd. Lassim bin Burhan dan YBrs. Encik Murad bin Jailani.
Hadir sama adalah Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA serta barisan Pengurusan Kanan KEJORA.
Pihak KEJORA turut mengadakan Majlis Sanjungan Budi bagi meraikan mantan Ahli Lembaga Pengarah iaitu YBhg. Tuan Haji Mohd Rafi bin Abdullah dan YBhg. Tuan Haji Ahmad Nazir bin Haji Mohd Nasir yang telah tamat tempoh lantikan.
KEJORA merakamkan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Lembaga Pengarah KEJORA atas kelapangan waktu menghadiri mesyuarat Lembaga Pengarah pada sesi kali ini. Semoga jalinan kerjasama yang erat ini akan terus terjalin demi akan terus menjadi pemangkin kepada transformasi yang inklusif dan lestari demi kesejahteraan warga perdesaan Wilayah Johor Tenggara.