PROGRAM KHATAN PERDANA AKRAB KOMUNITI DUN PENAWAR

19 Februari 2023, Bandar Penawar – Program berkhatan beramai-ramai setiap kali musim cuti persekolahan menjadi salah satu platform mengeratkan silaturahim antara komuniti setempat. Pada hari ini telah berlangsung Program Khatan Perdana Akrab Komuniti DUN Penawar di perkarangan Masjid As-Syifa’, Bandar Penawar, Johor.
Majlis telah disempurnakan oleh ADUN Penawar, Yang Berhormat Puan Fauziah binti Misri. Di dalam ucapannya, YB berasa bersyukur kerana program yang dirancang ini telah berjalan lancar. Beliau berharap program ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang memandangkan ianya adalah salah satu sunnah dalam menjaga kebersihan diri.
Untuk makluman, program ini telah menarik minat hampir 100 peserta di dalam DUN Penawar. Program ini diselangi dengan beberapa program lain antaranya Majlis Khatam Al-Quran, Tahlil Ringkas, Doa Selamat, perarakan peserta serta Kenduri Sekampung.
Semua anak-anak DUN Penawar ini akan dikhatankan oleh 2 orang doktor dari Klinik Adham Bandar Penawar. Setiap kanak-kanak ini diberikan kad yang mengandungi tarikh dan masa temujanji dan ibu bapa perlu menghantar anak-anak mereka mengikut kepada tarikh dan masa yang ditentukan.
Program ini juga merupakan program jalinan kerjasama antara Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Penawar, Masjid As-Syifa’ Bandar Penawar serta BOMBA Bandar Penawar.
Tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Program Khatan Perdana Akrab Komuniti DUN Penawar tahun 2023.

#PenerajuTerasKemakmuran