PERSIAPAN RERUAI KEJORA DI KARNIVAL MEGA 3 DIMENSI 2025 (MK3D2025)

Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA, telah meluangkan masa turun padang meninjau persiapan akhir reruai KEJORA sempena penyertaan dalam Karnival Mega 3 Dimensi 2025.
Seramai 30 usahawan desa bimbingan KEJORA bakal menyertai karnival ini, membawakan pelbagai produk tempatan yang unik, kreatif dan berkualiti tinggi seperti makanan dan minuman dan kraftangan. Inilah peluang anda untuk menyokong produk usahawan kami!
Jom datang beramai-ramai ke Pavillion Sanggar Usahawan KEJORA dan meriahkan MK3D2025 bersama keluarga!
📅 Tarikh: 30 Julai – 3 Ogos 2025 (Rabu – Ahad)
📍 Lokasi: Aras 1, Zon Karnival Usahawan Desa, MITEC Kuala Lumpur
⏰ Masa: 10.00 pagi – 10.00 malam
Pelbagai aktiviti menarik dan pameran menanti anda! Jangan lepaskan peluang!

LENSA SEKITAR PAMERAN MUZIUM NELAYAN TANJUNG BALAU SEMPENA HARI MUZIUM ANTARABANGSA PERINGKAT KEBANGSAAN 2025 KEDAH

Lensa sekitar pameran Muzium Nelayan Tanjung Balau, Johor dan aktiviti sempena Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 Kedah. Kini menghampiri penghujung!
Jom hadir beramai-ramai!
📍 Muzium Padi, Alor Setar, Kedah Darul Aman
🗒️ 23-29 Julai 2025
⏰ 10.00 pagi – 10.00 malam

SESI CABUTAN UNDI TAWARAN KERJA PROGRAM PERUMAHAN RAKYAT SEJAHTERA (PPRS)

Sesi undian bagi kerja-kerja membaikpulih dan bina baru rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA. Sebanyak 6 kerja undi bagi daerah Kota Tinggi dengan nilai keseluruhan berjumlah RM792,000.00 manakala 1 kerja undi bagi daerah Kluang bernilai RM158,000.00 telah dilaksanakan.
Untuk tahun 2025, KEJORA telah melaksanakan pembinaan dan baik pulih 63 buah rumah PPRS yang merangkumi 23 buah rumah bina baru dan 24 buah rumah baik pulih di daerah Kota Tinggi dan 11 buah rumah bina baru dan 5 buah rumah baik pulih di daerah Kluang.
Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat. Semoga projek-projek ini dapat dilaksanakan mengikut jadual bagi manfaat golongan sasar Wilayah Johor Tenggara.

LENSA HARI KE-2 MUZIUM NELAYAN TANJUNG BALAU DI HARI MUZIUM ANTARABANGSA PERINGKAT KEBANGSAAN 2025 KEDAH

Sekitar lensa hari kedua pameran Bahtera Nelayan di Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 di Muzium Padi, Alor Setar, Kedah.
Terima kasih kepada para pengunjung yang sudi singgah ke produk ikonik Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA).
Mari kita selami keunikan Nelayan dan Misteri Samudera Tanjung Balau Johor di sini.
📍Muzium Padi, Alor Setar, Kedah Darul Aman
🗒️ 23-29 Julai 2025
⏰ 10.00 pagi – 10.00 malam

PROGRAM JELAJAH JUARA 2025: USAHAWAN DESA MENEMBUSI PASARAN GLOBAL

KEJORA terus memperkasa usahawan luar bandar menerusi Program Jaringan Usahawan Wilayah KEJORA (JUARA) 2025 — sebuah inisiatif yang membuka laluan kepada usahawan Wilayah KEJORA memperluaskan pasaran dari Desa ke pentas Global.
Program JUARA 2025 adalah medan bagi usahawan membina jaringan hubungan strategik bersama agensi-agensi seperti PUJB, TEKUN, MARA, MAINJ, LHDN dan BSN.
KEJORA bertindak sebagai pemudahcara bagi membolehkan usahawan mendapatkan konsultansi agar produk dan perniagaan mereka mampu melonjak ke tahap lebih tinggi dan berdaya saing.
Usaha ini selari dengan aspirasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk menjadikan keusahawanan sebagai pilihan kerjaya utama, seiring dengan wawasan Kerajaan Negeri Johor dan hasrat YAB Menteri Besar Johor untuk menjadikan Johor sebagai kuasa ekonomi dan kekal berdaya saing di peringkat global.
KEJORA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan strategik dan para peserta yang menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan program ini.

MUZIUM NELAYAN TANJUNG BALAU DI PENTAS HARI MUZIUM ANTARABANGSA PERINGKAT KEBANGSAAN 2025 KEDAH

Muzium Nelayan Tanjung Balau, Johor melangkah lebih jauh apabila turut serta dalam Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung meriah di Muzium Padi, Kedah.
Dengan tema “Masa Depan Muzium Dalam Komuniti yang Berubah Pantas” , penyertaan ini menjadi platform terbaik mengetengahkan sejarah , budaya dan kisah kehidupan pesisir laut komuniti Tanjung Balau sejak turun-temurun yang menginspirasikan.
📢 Jom temui kami dengan lebih dekat!
📌 Lokasi: Muzium Padi, Alor Setar, Kedah Darul Aman
📅 Tarikh: 23–29 Julai 2025
🕙 Masa: 10.00 pagi – 10.00 malam

KEJORA MARTABATKAN WARISAN GASTRONOMI JOHOR DI PROGRAM RENTAK BERTANDAK ANTARABANGSA MELAKA 2025

Bandar Hilir, Melaka, 6 Julai 2025 — Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) terus gah melakar sejarah dalam usaha memelihara dan mempromosikan warisan negeri Johor apabila menyertai Program Rentak Bertandak Antarabangsa Melaka sempena Sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025, anjuran Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).
Penyertaan ini menampilkan sajian tradisional ikonik negeri Johor iaitu Laksa Johor, Nasi Ambang & Kuih Lopis, yang telah menerima sambutan menggalakkan daripada para pengunjung tempatan dan pelancong luar negara. Sajian ini bukan sahaja mencerminkan keunikan rasa Johor, malah membawa bersama nilai sejarah, identiti dan budaya masyarakat setempat yang diwarisi turun-temurun.
Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada usaha promosi awal Kempen Visit Johor 2026 dan Visit Malaysia 2026, selaras dengan aspirasi KEJORA untuk memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pelancongan budaya dan gastronomi yang berdaya saing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
KEJORA percaya bahawa warisan bukan sekadar tinggalan fizikal, tetapi turut merangkumi elemen budaya tidak ketara seperti makanan tradisional, yang berperanan besar dalam membentuk jati diri sesebuah masyarakat. Justeru, KEJORA akan terus komited memperkasa platform pameran, promosi dan kolaborasi yang mampu memartabatkan warisan tempatan ke peringkat lebih tinggi.

MAJLIS PENYERAHAN PROJEK PEMBINAAN JALAN DARI KAMPUNG JOHOR LAMA KE PERSIMPANGAN FELDA AIR TAWAR 2 FASA 1

Projek pembinaan jalan sepanjang 4 kilometer yang menghubungkan Kampung Johor Lama ke Kampung Guntong Nenas telah siap sepenuhnya. Projek Fasa 1 ini merupakan inisiatif dan kerjasama Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) bersama JKR Daerah Kota Tinggi selaku agensi pelaksana, bagi menyediakan kemudahan jalan raya yang selesa, selamat, dan berimpak tinggi kepada penduduk setempat.
Majlis penyerahan rasmi yang diadakan pada hari ini telah diserikan dengan kehadiran YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, YB ADUN Johor Lama & YB ADUN Sedili, Pengarah JKR Negeri Johor, Timbalan Pengarah ICU Negeri Johor, Pengarah Pejabat KKDW Negeri Johor, Jurutera Daerah Kota Tinggi, bersama pegawai-pegawai kanan daripada JKR, KKDW dan KEJORA
Dalam majlis tersebut, YB Tuan Ir Ts Mohamad Fazli bin mohamad Salleh, Pengerusi Kerja Raya mengucapkan tahniah dan terima kasih atas kejayaan pelaksanaan projek ini yang mengikut kehendak rakyat sesuai dengan pembangunan lestari. Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA, dalam ucapannya berharap agar kerjasama erat antara semua agensi berkaitan dapat diteruskan demi kejayaan projek-projek pada masa depan.
Projek ini akan diteruskan untuk Fasa 2, melibatkan pembinaan baki jajaran jalan sepanjang kira-kira 9 kilometer, yang dijangka akan bermula pada tahun 2026.
Projek jalan raya ini diyakini akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi bagi penduduk setempat serta membuka lebih banyak peluang dalam sektor perniagaan, pelancongan dan perhubungan di kawasan Kota Tinggi.

KEJORA PERKASA KEPIMPINAN JPKK DAN PERTUBUHAN WILAYAH: MELANGKAH SEIRING ARUS GLOBALISASI

Dalam era globalisasi yang serba pantas ini, KEJORA proaktif memperkukuh keupayaan kepimpinan dan pengurusan JPKK serta Pertubuhan di dalam Wilayah melalui program khas yang menekankan aspek komunikasi, kecekapan, dan profesionalisme berasaskan teknologi maklumat (ICT).
Program telah diadakan pada 30 Jun 2025 ini bukan sekadar latihan—ia adalah lonjakan ke arah memperkasa komuniti desa melalui pendedahan kepada teknologi terkini. Penguasaan kemahiran ICT asas kini bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan bagi memastikan transformasi digital desa dapat direalisasikan sepenuhnya.
Peserta telah diperkenalkan kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) termasuk ChatGPT, serta isu keselamatan siber yang semakin kompleks.
Yang Berusaha Encik Noorazmi bin Sahar, Pengurus Pembangunan Sosial dan Pemajuan Desa (PSPD) KEJORA selaku wakil rasmi Pengurus Besar KEJORA telah hadir merasmikan penutupan Program Pengukuhan JPKK dan Pertubuhan Wilayah KEJORA Tahun 2025. Dalam ucapannya, program ini merupakan inisiatif dan komitmen KEJORA dalam membina barisan pemimpin akar umbi yang celik digital, berdaya saing, dan bersedia menempuh masa hadapan yang semakin mencabar.
Terima kasih atas kehadiran dan komitmen semua peserta dari kalangan JPKK dan Pertubuhan dalam Wilayah KEJORA serta penganjur dalam menjayakan program bermanfaat ini.

LAWATAN KERJA KETUA SETIAUSAHA KKDW: MENELUSURI HALA TUJU PEMBANGUNAN IKS BANDAR PENAWAR

YBhg. Datuk Muhd Khair Razman bin Mohamed Annuar, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), telah mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek Pembinaan Premis Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Bandar Penawar pada 30 Jun 2025. Kehadiran delegasi YBhg. Datuk KSU bersama Setiausaha Bahagian Kemajuan Tanah dan Wilayah, Pengarah Pejabat KKDW Negeri Johor, dan pegawai- pegawai kanan KKDW telah disambut mesra oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA bersama barisan Pengurusan KEJORA.
Lawatan ini merupakan komitmen berterusan pihak Pengurusan Tertinggi KKDW dan KEJORA dalam memastikan pelaksanaan projek dijalankan mengikut pelan pembangunan serta mematuhi jadual yang ditetapkan.
Dalam sesi lawatan ini, YBhg Datuk KSU telah dimaklumkan tentang status semasa projek dan seterusnya dibawa melawat ke sekitar kawasan projek bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang pembangunan projek ini secara keseluruhan.
Projek ini merupakan usaha KEJORA untuk menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat dan Halal Hub KEJORA di bawah Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030-platform strategik bagi melonjakkan usahawan tempatan ke peringkat lebih tinggi.