SEMARAK KIBAR JALUR GEMILANG WILAYAH KEJORA 2025

Pantai Tanjung Balau pada hari ini meriah dengan warna-warni semangat patriotisme.
Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Wilayah KEJORA 2025 telah berlangsung penuh semangat dan ceria di Pantai Tanjung Balau dan majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Kepten Hazlan bin Hazumi TLDM, Pegawai Memerintah KD Sultan Ismail, Penghulu Mukim Tanjung Surat, barisan pengurusan KEJORA, ketua-ketua jabatan, penghulu-penghulu mukim, pengerusi-pengerusi JPKK serta komuniti setempat.
Ketibaan Yang Berhormat Datin Paduka disambut meriah dengan persembahan pancaragam KD Sultan Ismail, menambahkan lagi semangat patriotik dalam kalangan hadirin.
Dalam ucapannya, beliau mengajak seluruh komuniti wilayah KEJORA untuk mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman dan premis masing-masing sebagai tanda kesyukuran, kebanggaan dan cinta akan negara. Kempen ini juga sebagai simbol sokongan KEJORA bersama komuniti terhadap kemerdekaan dan perpaduan.
Bagi menyemarakkan suasana, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan melalui KEJORA Merdekaria seperti:
🎽 Briskwalk Merdekaria
🏍️ Konvoi Bermotor Gemilang KEJORA
🎨 Pertandingan mewarna, gubahan bunga & pakaian beragam
🏐 Sukan rakyat
🎁 Cabutan bertuah
🍧 Edaran bubur cha-cha Jalur Gemilang
Acara simbolik pelepasan belon udara turut diadakan, melambangkan semangat rakyat yang bebas dan bersedia menghadapi masa depan yang gemilang.
Majlis juga menyaksikan penyampaian hadiah untuk pertandingan Hiasan Jiwa Merdeka bagi kategori kediaman individu dan bangunan komuniti JPKK.
Terima kasih kepada semua pihak yang hadir dan menjayakan acara ini. Mari kita terus kibarkan Jalur Gemilang dengan bangga, demi tanah air tercinta!

LAWATAN KERJA YPJ HOLDINGS SDN. BHD. KE TAPAK PROJEK LADANG FERTIGASI, SUNGAI MUPOR, SEDILI

Delegasi YPJ Holdings Sdn. Bhd. yang diketuai oleh Yang Berbahagia Puan Hajah Nor Azleena binti Abdul Rahman, Pengurus Besar (Pembangunan Hartanah) YPJ Holdings Sdn. Bhd., telah mengadakan lawatan kerja ke Tapak Projek Ladang Fertigasi di Hub Agro Bersepadu KEJORA, yang terletak di Sungai Mupor, Sedili. Lawatan ini bertujuan untuk meneroka potensi kerjasama strategik antara YPJ Holdings dan KEJORA.
Hub Agro Bersepadu KEJORA merupakan inisiatif pertanian moden berteraskan teknologi tinggi, yang dilengkapi dengan sistem fertigasi di bawah Rumah Lindungan Hujan. Ia turut akan mengaplikasikan teknologi Internet of Things (IoT) bagi mempertingkatkan kecekapan pengurusan ladang. Inisiatif ini mencerminkan komitmen KEJORA dalam memacu inovasi serta memperkukuh daya saing sektor agro-makanan.
Ketibaan delegasi YPJ Holdings telah disambut mesra oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA, bersama barisan pengurusan KEJORA. Turut diadakan ialah sesi taklimat dan perkongsian maklumat mengenai pembangunan serta hala tuju strategik Hub Agro Bersepadu KEJORA.

PROGRAM JELAJAH JUARA 2025 SIRI KE-3 & HARI KEJORA BERSAMA PELANGGAN PERKUKUH HUBUNGAN DENGAN KOMUNITI

Program Jelajah JUARA 2025 Siri Ke-3 dan Hari KEJORA Bersama Pelanggan telah berlangsung dengan di Pusat Komuniti Desa Mawai Baru, Kota Tinggi. Inisiatif ini merupakan usaha KEJORA untuk mendekati komuniti dan menyokong usahawan tempatan secara langsung.
Melalui program ini, para peserta berpeluang mendapatkan bimbingan, khidmat nasihat, dan konsultansi perniagaan bagi memperkasa produk serta meningkatkan daya saing mereka di pasaran. KEJORA turut memainkan peranan sebagai pemudahcara membina jaringan strategik antara komuniti dan agensi kerajaan serta swasta.
Program ini mendapat sokongan padu daripada pelbagai rakan strategik termasuk Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi (KKM), SME Corp Malaysia Negeri Johor, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Negeri Johor, Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Johor, serta CIMB Bank Cawangan Kota Tinggi.
YBrs. Encik Mohd Fakharur Razziy bin Hazran, Pengurus Pelancongan merangkap Pengurus Ekonomi & Usahawan KEJORA turut hadir menyampaikan taklimat mengenai program JUARA 2025.
KEJORA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat. Penglibatan dan sokongan komuniti menyemarakkan lagi usaha KEJORA dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti dan membangunkan ekosistem keusahawanan Wilayah KEJORA.

MAJLIS SERAH TUGAS PENGURUS KANAN (PENGURUSAN PEMEGANG TARUH DAN PROJEK KHAS)

Majlis Serah Tugas Pengurus Kanan (Pengurusan Pemegang Taruh dan Projek Khas) telah berlangsung di antara YBhg. Puan Hajah Nurul Aishah binti Mohamadon dengan YBrs. Encik Muhamad Norashid bin Amir.
Majlis serah tugas telah disaksikan oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA serta turut dihadiri oleh Pengurusan KEJORA.
Seluruh warga KEJORA merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada YBhg Puan Hajah Nurul Aishah binti Mohamadon di atas khidmat bakti sepanjang perkhidmatan di KEJORA. Tahniah dan selamat datang kepada YBrs Encik Muhammad Norashid bin Amir di atas pelantikan sebagai Pengurus Kanan (Pengurusan Pemegang Taruh dan Projek Khas) yang baharu.

TRANSFORMASI KILANG IKS BANDAR MAS: LONJAKAN BAHARU USAHAWAN LUAR BANDAR

KEJORA terus komited memperkasakan usahawan luar bandar dengan menyediakan kemudahan yang strategik dan kondusif untuk pertumbuhan perniagaan. Salah satu inisiatif penting ialah pembinaan dan penambahbaikan premis Industri Kecil dan Sederhana (IKS), lengkap dengan kemudahan asas bagi menyokong operasi terutamanya dalam sektor pembuatan. Hari ini, kerja-kerja menaiktaraf 4 unit Kilang IKS di Bandar Mas telah berjaya […]

SANGGAR USAHAWAN KEJORA DI KARNIVAL MEGA 3 DIMENSI 2025 (MK3D2025)

Jom ke reruai KEJORA ‘Sanggar Usahawan’ di MITEC, Kuala Lumpur yang bermula pada 30 Ogos 2025.
Sanggar Usahawan KEJORA menampilkan pelbagai aktiviti menarik:
– mencanting batik
– ⁠kuiz interaktif
– ⁠jualan produk usahawan desa KEJORA
Jangan lepaskan peluang! Jom temui kami:
Tarikh: 30 Julai hingga 3 Ogos 2025
Masa: 10.00 pagi hingga 10.00 malam
Tempat: Aras 1, Zon Karnival Usahawan Desa, MITEC Kuala Lumpur
Terima kasih kepada semua pengunjung yang hadir menyokong dan memeriahkan karnival ini.

PENGUKUHAN SISTEM PENGURUSAN KESELAMATAN MAKLUMAT KEJORA (ISMS)- ISO/IEC 27001:2022 TAHUN 2025

Pengukuhan kepada keselamatan maklumat KEJORA diteruskan dengan pelaksanaan Audit Pemantauan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) ISO/IEC 27001:2022 KEJORA oleh SIRIM QAS Internasional Sdn. Bhd. dilaksanakan bermula 28 hingga 29 Julai 2025.
Mesyuarat Pembukaan dan Penutupan Audit Pemantuan ISMS telah dipengerusikan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Puan Marlina binti Amir selaku Ketua Pegawai Digital (CDO) KEJORA.
Skop pengauditan ini adalah berkaitan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat bagi Sistem Electronic Procument Ready Online (ePRO) 3.0, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara.
Terima kasih kepada semua warga KEJORA yang telah memastikan pengauditan berjalan dengan lancar dan memberikan komitmen yang baik kepada Juruaudit.

MAJLIS PERHIMPUNAN KEJORA BULAN JULAI 2025 : FOKUS, BIJAK DAN SEGERA

Majlis Perhimpunan bulanan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) bagi Julai 2025 telah berlangsung di Dewan KEJORA, Bandar Penawar. Majlis ini diserikan dengan amanat penuh inspirasi daripada Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA, yang menekankan pentingnya merancang dan melaksanakan program-program yang bukan sahaja berfokus dan berimpak tinggi, tetapi benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasar.
Beliau turut menggariskan keperluan mempergiat usaha mempromosikan produk pelancongan desa KEJORA sebagai persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Johor 2026. Menurutnya, ini merupakan peluang emas untuk mengetengahkan keunikan warisan dan budaya desa kepada pelancong dalam dan luar negara.
YB Datin Paduka Hajah Hazlina juga menyeru seluruh warga KEJORA untuk terus memperkukuh budaya kerja berpasukan. Beliau percaya bahawa kejayaan organisasi tidak terletak pada individu, tetapi pada kekuatan kolektif sebuah pasukan yang bergerak seiring dalam mencapai matlamat bersama.
Mengakui realiti dunia kerja yang semakin mencabar — pantas berubah, penuh persaingan dan sarat dengan ekspektasi — beliau menggesa agar seluruh warga KEJORA mengamalkan budaya kerja yang cekap termasuk sikap proaktif, menguasai tugasan, bijak menggunakan sumber dan masa, serta tersusun dalam menyampaikan hasil kerja secara tepat dan pantas.
Sebagai lambang komitmen KEJORA terhadap nilai-nilai integriti dan tadbir urus yang baik, majlis turut menyaksikan pelaksanaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh seluruh warga kerja KEJORA sebagai iltizam KEJORA dalam memerangi rasuah.
Majlis hari ini turut menyaksikan pelaksanaan penyampaian Sijil Anugerah Prestasi Baik bagi tahun 2024, Penghargaan kepada 2 orang anggota KEJORA yang akan bersara pada 1 Ogos 2025 iaitu Puan Hjh Noor Anisah binti Hj Sihes, Setiausaha Pejabat dan Encik Norjilan bin Matfot, Pekerja Khidmat Am, serta Sambutan Hari Lahir anggota KEJORA bagi bulan Januari hingga Julai 2025 — satu inisiatif yang menzahirkan penghargaan dan kebersamaan dalam keluarga besar KEJORA.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada seluruh warga KEJORA atas semangat, komitmen dan dedikasi yang tidak pernah luntur. Bersama, kita terus memacu Wilayah KEJORA ke arah kesejahteraan dan kemajuan yang berterusan.

MUZIUM NELAYAN TANJUNG BALAU RAIH NAIB JOHAN RERUAI KREATIF DI FESTIVAL HARI MUZIUM ANTARABANGSA PERINGKAT KEBANGSAAN 2025 KEDAH

Muzium Nelayan Tanjung Balau telah dinobatkan Naib Johan Kategori Reruai Kreatif sempena Festival Hari Muzium Anarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Kedah.
Majlis penutup ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara. Reruai Muzium Nelayan telah tampil dengan konsep ‘Bahtera Nelayan’ yang menggabungkan teknologi Realiti Maya (VR) dan Tayangan Immersive 3D sebagai medium interaktif yang menjadikan pengalaman menarik kepada pengunjung.
Tahniah kepada pasukan pameran Muzium Nelayan Tanjung Balau dan terima kasih kepada semua pengunjung yang menyokong kami!

PERSIAPAN RERUAI KEJORA DI KARNIVAL MEGA 3 DIMENSI 2025 (MK3D2025)

Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA, telah meluangkan masa turun padang meninjau persiapan akhir reruai KEJORA sempena penyertaan dalam Karnival Mega 3 Dimensi 2025.
Seramai 30 usahawan desa bimbingan KEJORA bakal menyertai karnival ini, membawakan pelbagai produk tempatan yang unik, kreatif dan berkualiti tinggi seperti makanan dan minuman dan kraftangan. Inilah peluang anda untuk menyokong produk usahawan kami!
Jom datang beramai-ramai ke Pavillion Sanggar Usahawan KEJORA dan meriahkan MK3D2025 bersama keluarga!
📅 Tarikh: 30 Julai – 3 Ogos 2025 (Rabu – Ahad)
📍 Lokasi: Aras 1, Zon Karnival Usahawan Desa, MITEC Kuala Lumpur
⏰ Masa: 10.00 pagi – 10.00 malam
Pelbagai aktiviti menarik dan pameran menanti anda! Jangan lepaskan peluang!