KEJOHANAN MTB KEJORA JAMBOREE @ TANJUNG BALAU 2022

Pada hari ini telah berlangsung Kejohanan MTB KEJORA Jamboree @ Tanjung Balau 2022 di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor.
Sebanyak 5 acara dipertandingkan dengan penyertaan hampir 400 peserta. Terdapat lebihkurang 20 peserta dari luar negara turut sama menyertai acara ini.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh ADUN Tanjung Surat, YB Tuan Aznan bin Tamin yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi & Sumber Manusia Negeri Johor. Di dalam ucapannya, beliau menyatakan perasaan bangga dengan komitmen Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) terutama Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) yang sentiasa memikirkan sesuatu yang baharu dan segar dalam merancang program sukan dan kecerdasan untuk rakyat pelbagai bangsa mahupun berbeza ideologi politik terutama di Negeri Johor.
Menurut beliau lagi, inilah komitmen KEJORA untuk membudaya sukan dalam kalangan rakyat sepertimana terkandung dalam agenda pembangunan negara. Ia juga selari dengan konsep Maju Johor 2030 yang telah digariskan oleh YAB Menteri Besar Johor berteraskan kepada 6 teras utama iaitu Tadbir Urus Kerajaan, Pembangunan Ekonomi, Jaringan Keselamatan Sosial, Kemudahan, Keperluan Asas dan Orang Muda Johor.
Kesemua peserta pada hari ini telah menghabiskan laluan sepanjang lebihkurang 35km dengan halangan pantai, kebun getah, kebun kelapa sawit, jalanraya sebelum mengakhiri laluan di laluan XCO Tanjung Balau.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengurus Besar KEJORA, YBhg. Dato’ Hj Mohd Rusdi bin Mohd Darus, En. Fizwan bin Dato’ Hj. Rashidi, YDP Majlis Perbandaran Pengerang merangkap wakil rasmi Pegawai Daerah Kota Tinggi, YB Puan Fauziah binti Misri, ADUN Penawar, Tn. Hj. Hanis Musalman bin Salehan, Setiausaha Majlis Perbandaran Pengerang, Tn. Hj. Ahmad Fakaruddin bin Ahmad, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KETENGAH, Pengurusan Kanan KEJORA serta wakil-wakil jabatan dalam Daerah Kota Tinggi.
KEJORA mengucapkan terima kasih kepada agensi di bawah KKDW seperti KESEDAR, KETENGAH dan FELCRA yang turut sama menjayakan kejohanan ini. Selain itu juga, sekalung penghargaan terima kasih diucapkan kepada Lembaga Getah Malaysia (LGM), Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), RELA, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dan semua yang terlibat dalam penganjuran kejohanan MTB KEJORA Jamboree @ Tanjung Balau 2022.
Tahniah kepada semua pemenang. Kekalkanlah semangat setiakawan & kerja berpasukan yang telah terjalin.
“Bakat lebih murah daripada garam di meja. Apa yang membezakan individu yang berbakat dan yang berjaya adalah banyak kerja keras” – Stephen King
#PenerajuTerasKemakmuran