KEJORA TERUS BERSAMA MEMBANTU EKONOMI PELANCONGAN DI BAWAH PROGRAM SKIM BANTUAN EKONOMI PELANCONGAN (SBEP) WILAYAH KEJORA
MAWAI, 17 Januari – KEJORA melalui Bahagian Pelancongan telah mengadakan Sesi Penyerahan Peralatan Skim Bantuan Ekonomi Pelancongan (SBEP) Wilayah KEJORA di Pusat Komuniti Desa (PKD) Mawai Baru, Kota Tinggi, Johor.
Majlis telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA. Didalam ucapannya, Yang Berhormat Datin Paduka telah memaklumkan bahawa Skim Bantuan Ekonomi Pelancongan (SBEP) telah diperkenalkan oleh pihak KEJORA pada tahun 2023. Skim ini adalah sebuah program bantuan untuk menggiat dan meningkatkan penglibatan individu dan komuniti dalam aktiviti dan membangunkan produk berasaskan pelancongan yang berpotensi dan berdaya maju bagi meningkatkan pendapatan.
Beliau menambah, seramai 21 pemohon yang meliputi 20 pemohon di bawah kategori individu dan 1 di bawah kategori berkelompok yang berjaya dan diluluskan oleh pihak Pengurusan KEJORA dan semua penerima telah menghadiri kursus pengurusan kewangan dan perakaunan yang telah dijalankan sebelum ini di Kuala Terengganu, Terengganu.
Turut hadir di dalam majlis ini ialah ADUN Kawasan Sedili YB Tuan Muszaide bin Makmor, Pengurus Pelancongan Puan Suraya Hani binti Sharan, Ketua Unit Pengurusan Fasiliti Encik Norazmi bin Sahar, Penghulu Mukim Ulu Sungai Sedili Encik Mohd Ramdan bin Rokman, Ketua Unit Komunikasi Korporat KEJORA Encik Mohamad Azrul bin Shari, JPKK Kampung Mawai Baru, Penerima SBEP KEJORA serta penduduk Kampung Mawai Baru.
Semoga dengan bantuan yang diterima ini, penerima dapat merancakkan lagi pendapatan ekonomi keluarga serta membantu KEJORA dalam mempromosikan Pelancongan Luar Bandar.
Sampan Kolek Menuju Ke Hilir,
Sarat Titi Si Batang Lidi,
Jangan Berkata Hanya Di Bibir,
Satukan Komuniti, Jayakan Budi.