GERAKAN PASCA BANJIR 2024 DAERAH KOTA TINGGI
KOTA TINGGI, 16 Januari – KEJORA telah menghantar skuad Sukarelawan KEJORA seramai 14 orang (setiap hari) bagi menyertai Gerakan Pasca Banjir Daerah Kota Tinggi yang telah bermula dari 12 hingga 16 Januari 2024 di kawasan tumpuan banjir dalam Daerah Kota Tinggi.
Pada hari terakhir ini, Skuad Sukarelawan KEJORA telah diketuai oleh Ketua Unit Integriti, Encik Mus-Irwan bin Hj. Misroom, bersama Penyelaras Pasukan, Encik Mohd Ridhuan bin Husain telah sama-sama membantu membersihkan kawasan Taman Kemang, Kota Tinggi.
Turut diadakan pada hari ini adalah majlis penutupan Gerakan Pasca Banjir Daerah Kota Tinggi yang telah disempurnakan oleh YB Tuan Mohd Hairi bin Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor. Turut hadir pada majlis ini adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Yang Berhormat Dato’ Haji On bin Jabbar@Jaafar, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Tuan Haji Ahmad Nazir bin Haji Mohd Nasir serta Yang Di-Petua Majlis Daerah Kota Tinggi, Encik Mohammad Nazrul bin Abd Rahim.
Manakala KEJORA diwakili oleh Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Encik Daud bin Abd. Rahman selaku wakil rasmi Pengurus Besar KEJORA serta Pengurus Kanan, Pengurusan Pemegang Taruh & Projek Khas, Puan Nurul Aishah binti Mohamadon.
Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) mengucapkan ribuan terima kasih kepada Majlis Daerah Kota Tinggi atas kesudian menjemput sukarelawan KEJORA untuk sama-sama membantu dalam program Gerakan Pasca Banjir Tahun 2024 Daerah Kota Tinggi, Johor Darul Takzim.
Semoga sumbangan kecil dari sukarelawan KEJORA ini dapat mengurangkan beban mangsa banjir dan akan dinilai sebagai salah satu ibadah kepadaNya.