KURSUS TANAMAN DURIAN MDUR TAHUN 2022

Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) menerusi Bahagian Pertanian dan Industri Asas Tani telah menganjurkan Kursus Tanaman Durian MDUR Tahun 2022 dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Kursus ini telah diadakan pada 12-15 Julai 2022 bertempat di Hotel Casuarina Meru dan Durio Tourism MARDI Kuala Kangsar, Perak.
Program ini telah dirasmikan oleh En. Daud Bin Abd. Rahman selaku Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), KEJORA. Seramai 20 orang peserta telah menyertai kursus ini yang terdiri daripada ahli koperasi kampung, pengusaha pertanian di Kawasan Tanaman Campuran dan penduduk di sekitar Wilayah KEJORA.
Objektif utama kursus ini adalah untuk memberi pendedahan dan ilmu pengetahuan kepada peserta mengenai kaedah penanaman durian premium dan potensi pemasaran bagi tanaman durian secara teori dan juga amali. Selain itu, Kursus ini juga secara tidak langsung dapat mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran serta daya saing peserta melalui latihan pembangunan modal insan dan latihan amali yang disampaikan oleh Penceramah MARDI.
Kursus ini juga telah menekankan kepentingan aktiviti penanaman sehingga pasca tuai bagi menghasilkan buah durian yang berkualiti tinggi selaras keperluan untuk jaminan bekalan makanan negara.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada para peserta.