PROGRAM PEMBANGUNAN BAKAT WILAYAH KEJORA

Sesi Latihan Amali di padang bagi Program Pembangunan Sukan Golf Wilayah KEJORA melalui Bahagian Pembangunan Sosial dan Pemajuan Desa telah dilaksanakan pada 15 Julai 2022, Jumaat bertempat di Orchard Golf & Country Club, Kota Tinggi, Johor. Ini bagi memberi pendedahan kepada peserta keadaan sebenar sukan golf selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Golf (Driving Range) di Bandar Penawar. Semua peserta menunjukkan peningkatan yang baik semasa sesi latihan padang. Beberapa peserta juga dapat dikenalpasti berpotensi mendapat kedudukan yang baik semasa pertandingan golf peringkat MSSD Johor yang akan datang. Peningkatan prestasi peserta ini dibantu oleh 3 orang jurulatih bertauliah yang telah dilantik oleh KEJORA.
Program ini telah bermula pada bulan Mei 2022 dan disertai seramai 30 orang anak-anak penduduk sekitar Wilayah KEJORA yang berumur 7 hingga 17 tahun. Ini merupakan salah satu Program BAKAT yang dirancang oleh Bahagian PSPD bagi mencungkil bakat anak-anak penduduk Wilayah KEJORA dalam sukan Golf.
Pihak KEJORA mendapat kerjasama yang sangat baik dari Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Kluang dan Johor Bahru dalam perlaksanaan program ini. Kebenaran khas pelepasan belajar telah diberikan kepada murid atau pelajar yang terpilih bagi menjalani latihan sekiranya melibatkan hari persekolahan. Program ini juga menjadi ‘platform’ kepada peserta-peserta membuat persediaan bagi menyertai kejohanan golf peringkat MSSD Johor yang akan berlangsung pada bulan Ogos 2022.