Kursus Ternakan Ikan Kelah Secara Komersial

KEJORA melalui Bahagian Pertanian & Industri Asas Tani telah menganjurkan Kursus Ternakan Ikan Kelah Secara Komersial (Lanjutan) dengan kerjasama syarikat pengusaha ikan kelah iaitu Far East Planet Agrofarm selama 5 hari iaitu bermula pada 28 Mac sehingga 1 April 2021 bertempat di Pusat Ternakan Ikan Kelah, Far East Planet Agrofarm, Mersing Johor.
Majlis Perasmian Penutupan Kursus Ternakan Ikan Kelah Secara Komersial (Lanjutan) telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KEJORA, En Daud Bin Abd. Rahman pada hari ini. Seramai 10 orang peserta telah menyertai kursus ini yang terdiri daripada penduduk di dalam Wilayah KEJORA dan anak syarikat KEJORA iaitu KEJORA Agro Sdn.Bhd.
Objektif utama kursus ini adalah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran peserta dalam aktiviti penternakan ikan kelah. Kursus selama 5 hari ini memfokuskan kepada beberapa subjek utama iaitu pengurusan kualiti air, pengurusan ternakan ikan kelah, pengurusan kolam dan pengurusan penyakit ikan. Besar harapan pihak KEJORA agar dapat melahirkan lebih ramai penternak ikan kelah dari kalangan penduduk di dalam wilayah KEJORA serta menjadi agensi peneraju dalam membangunkan industri ternakan ikan kelah di Negeri Johor.