LAWATAN KERJA YPJ HOLDINGS SDN. BHD. KE TAPAK PROJEK LADANG FERTIGASI, SUNGAI MUPOR, SEDILI
Delegasi YPJ Holdings Sdn. Bhd. yang diketuai oleh Yang Berbahagia Puan Hajah Nor Azleena binti Abdul Rahman, Pengurus Besar (Pembangunan Hartanah) YPJ Holdings Sdn. Bhd., telah mengadakan lawatan kerja ke Tapak Projek Ladang Fertigasi di Hub Agro Bersepadu KEJORA, yang terletak di Sungai Mupor, Sedili. Lawatan ini bertujuan untuk meneroka potensi kerjasama strategik antara YPJ Holdings dan KEJORA.
Hub Agro Bersepadu KEJORA merupakan inisiatif pertanian moden berteraskan teknologi tinggi, yang dilengkapi dengan sistem fertigasi di bawah Rumah Lindungan Hujan. Ia turut akan mengaplikasikan teknologi Internet of Things (IoT) bagi mempertingkatkan kecekapan pengurusan ladang. Inisiatif ini mencerminkan komitmen KEJORA dalam memacu inovasi serta memperkukuh daya saing sektor agro-makanan.
Ketibaan delegasi YPJ Holdings telah disambut mesra oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA, bersama barisan pengurusan KEJORA. Turut diadakan ialah sesi taklimat dan perkongsian maklumat mengenai pembangunan serta hala tuju strategik Hub Agro Bersepadu KEJORA.
























