PROGRAM AKRAB KOMUNITI WILAYAH KEJORA ZON KOTA TINGGI DAN ZON SEDILI

25 November, Kota Tinggi – Lembaga Kemajuan Johor Tenggara KEJORA melalui Bahagian Pembangunan Sosial dan Pemajuan Desa (PSPD) dengan kerjasama JPKK Kampung Sungai Telor telah melaksanakan Program Akrab Komuniti Wilayah KEJORA Zon Kota Tinggi dan Zon Sedili pada 25 November 2023 (Sabtu) bertempat di Kampung Sungai Telor, Kota Tinggi.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Tenggara, YB Tuan Tn. Hj. Manndzri bin Hj. Nasib. Di dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa penduduk luar bandar memainkan peranan yang penting dalam membangunkan sesuatu kawasan. Lebih dari sekadar infrastruktur, pembangunan sahsiah penduduk adalah titik fokus dalam memastikan perkembangan yang seimbang dan berkekalan.
Beliau menambah, sikap kejujuran, daya ketahanan, dan semangat gotong-royong adalah ciri-ciri yang akan memperkukuhkan komuniti luar bandar. Pembangunan sahsiah individu membawa impak yang besar kepada keharmonian dan kemajuan kawasan ini.
Akrab Komuniti yang berlangsung selama satu hari ini telah disertai oleh 17 buah kampung di dalam Wilayah KEJORA yang berada di Zon Kota Tinggi dan Zon Sedili termasuk pasukan dari KEJORA. Program ini melibatkan 5 acara sukan yang dipertandingkan iaitu Futsal, Bola Jaring, Liga Penalti, Sepak Takraw, dan Memancing.
Turut berlangsung pada hari yang sama adalah acara LDM MTB Jamboree V1.0 yang dilaksanakan oleh Lanchara De Malayos dan JPKK Kampung Sungai Telor. Program ini telah melibatkan hampir 800 orang pelumba dari seluruh negara mengharungi laluan perlumbaan yang mencabar di sekitar Kampung Sungai Telor.
Pihak KEJORA mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pengerusi dan warga JPKK Zon Kota Tinggi dan Zon Sedili yang terlibat sepanjang penganjuran program Akrab Komuniti 2023.
“Ingatlah, pembangunan komuniti bukanlah sekadar tentang pembinaan struktur fizikal, tetapi lebih kepada mengukuhkan ikatan di antara individu-individu yang membentuk komuniti ini” – Ahli Parlimen Tenggara, YB Tuan Tn. Hj. Manndzri bin Hj. Nasib.