KONVENSYEN KUMPULAN INOVATIF & KREATIF (KIK) KEJORA TAHUN 2023

Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) KEJORA Tahun 2023 telah diadakan pada 28 November 2023 bertempat di Dewan KEJORA, Bandar Penawar.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Encik Mohd Hanafi bin Jantan, Pengurus Perancangan Strategik. Dalam ucapannya, beliau percaya bahawa pembangunan Wilayah KEJORA atau KEJORA 2.0 akan diterajui oleh kekuatan daya imaginasi, inovasi dan kreativiti. Idea dan keunikan, dibantu oleh kecanggihan teknologi merupakan wahana utama dalam memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan.
Beliau berharap agar anggota KEJORA menjadikan budaya “berfikir di luar kebiasaan” sebagai suatu kebiasaan. Sekiranya sebelum ini KEJORA menerima “complaint as a gift” dari para pelanggan bagi memperbaiki tahap perkhidmatan, maka kini KEJORA perlu memberikan “kejutan gembira” pula kepada pelanggan KEJORA dengan “hadiah” perkhidmatan yang responsif, mesra, cekap dan pastinya memudahkan, yang berteraskan ketelusan dan integriti. Ianya juga sejajar dengan objektif KIK iaitu menambahbaik dan meningkatkan kualiti serta produktiviti kerja khususnya dalam sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.
Pada hari ini, sebanyak 11 kumpulan telah menyertai konvensyen tahun ini iaitu Kumpulan Sinergi, Speed Empire, Genesis, Prospek, Teravolt, Crypto Coin, Ultimate, Unite, Omega-10, Prima Facie dan Agro. Konvensyen pada tahun ini diadili oleh Puan Azimah binti Adnan dan Encik Mazuan bin Salih daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Selatan.
“Jika anda ingin cepat, pergilah sendiri. Bila ingin pergi jauh, mesti bersama-sama” ~ .
Jumpa nanti pada Sambutan Hari Inovasi, Integriti dan Psikologi KEJORA Tahun 2023 yang akan diadakan pada 30 November 2023 bagi mengetahui siapakah yang bakal merangkul JOHAN KONVENSYEN KIK KEJORA TAHUN 2023.