PROGRAM KARNIVAL ASPIRASI PENDIDIK DAN KEUSAHAWANAN @ MUZIUM NELAYAN SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU 2023
Program Karnival Aspirasi Pendidik dan Keusahawanan @ Muzium Nelayan Sempena Sambutan Hari Guru 2023 telah diadakan pada 27 Mei 2023 (Sabtu) di sekitar Pantai Tanjung Balau dan Muzium Nelayan Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor.
Sebanyak 5 acara dipertandingkan dengan penyertaan hampir 150 peserta yang diadakan secara bersemuka dan di dalam talian/maya.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh ADUN Penawar, YB Puan Fauziah binti Misri. Di dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa tarikh 16 Mei adalah satu tarikh yang sentiasa diingati oleh Warga Pendidik dan Tema Hari Guru bagi tahun 2023 adalah “Guru Insani Pemangkin Generasi Madani”.
Beliau menambah, setiap manusia yang berpelajaran mampu mengajar dan berkongsi pengetahuan dengan pelajarnya. Tetapi untuk menjadi seorang pendidik, seorang guru memerlukan satu tekad bahawa tugasnya itu satu tanggungjawab serta satu amanah yang mana beliau mesti berusaha sedaya mungkin untuk menjadikan muridnya terpelajar, berhati mulia dan berpegang kepada nilai-nilai murni, berakhlak dan bersedia berkorban seperti gurunya untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Pelbagai acara telah disusun antaranya, Pertandingan Larian “Terima Kasih Cikgu”, Pertandingan Mewarna, Pertandingan Sukan Rakyat, Pertandingan Guru Idol dan Bengkel Mencanting Batik. Pada tahun ini, Karnival Aspirasi Pendidik ini diserikan dengan pembukaan booth jualan usahawan KEJORA.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEJORA, YBrs. Puan Marlina binti Amir, Wakil Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi, YBrs. Encik Norazan bin Hamim, Pengurus Pelancongan KEJORA, Puan Suraya Hani binti Sharan, Pengurusan Kanan KEJORA, Warga Pendidik Wilayah KEJORA serta pelajar-pelajar Wilayah KEJORA.
KEJORA mengucapkan sekalung penghargaan terima kasih kepada semua yang menjayakan Karnival Aspirasi Pendidik ini termasuklah PDRM dan RELA.
Tahniah kepada semua pemenang. Kekalkanlah semangat setiakawan & kerja berpasukan yang telah terjalin.
“MUNGKIN guru bukanlah orang terpintar atau paling berjaya dimuka bumi, NAMUN guru mampu membimbing kamu menuju kejayaan”