SESI HANDS-ON PROGRAM PENDIGITALAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN WILAYAH KEJORA TAHUN 2022

7 SEPTEMBER 2022 I RABU
Pada hari ini, telah berlangsung Sesi Hands-On Program Pendigitalan Pengajaran & Pembelajaran Wilayah KEJORA Tahun 2022 di Dewan KEJORA Bandar Penawar. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEJORA.
Di dalam ucapan perasmian ini, dimaklumkan bahawa pihak KEJORA telah menyediakan peruntukan untuk merealisasikan usaha pembangunan platform pembelajaran atas talian ini. Peruntukan yang disediakan ini adalah merangkumi langganan ID untuk 1000 orang pelajar serta pembayaran khas insentif guru yang terlibat. Sebanyak 38 buah sekolah (20 sekolah Rendah dan 18 Sekolah Menengah) di dalam Wilayah KEJORA akan dilibatkan dengan sasaran penyertaan 500 pelajar sekolah rendah dan 500 pelajar sekolah menengah.
Usaha ini juga dilaksanakan sebagai satu inisiatif dari KEJORA untuk merapatkan perbezaan digital antara pelajar di kawasan bandar dan luar bandar sebagaimana yang digariskan di bawah Pelan Strategik Pendigitalan KPLB (PSPKPLB) 2021-2025. PSPKPLB ini telah menggariskan 14 Pelan Strategi dan 28 Pelan Tindakan yang antara lain bertujuan untuk meningkatkan penggunaan digital dalam urusan harian masyarakat dikawasan luar bandar.
KEJORA mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga di atas kerjasama dan komitmen yang diberikan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Johor khususnya Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Pejabat Pendidikan Daerah Kluang dan Pejabat Pendidikan Daerah Kulai yang sentiasa menyokong usaha KEJORA untuk melaksanakan program yang memberi manfaat kepada pelajar-pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan serta B40.