𝐋𝐀𝐅𝐀𝐙 𝐈𝐊𝐑𝐀𝐑 𝐁𝐄𝐁𝐀𝐒 𝐑𝐀𝐒𝐔𝐀𝐇 (𝐈𝐁𝐑) 𝐓𝐀𝐇𝐔𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟒, 𝐁𝐔𝐊𝐓𝐈 𝐊𝐄𝐉𝐎𝐑𝐀 𝐓𝐎𝐋𝐀𝐊 𝐑𝐀𝐒𝐔𝐀𝐇

BANDAR PENAWAR, 22 Julai – Seluruh warga kerja Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai usaha murni ke arah peningkatan integriti sekaligus menjamin perjalanan tadbir urus KEJORA supaya lebih berprestasi tinggi.
Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Tahun 2024 ini telah diadakan di Dewan KEJORA dengan disempurnakan oleh Pengurus Besar KEJORA, Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil dan disaksikan oleh Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Negeri Johor, YBhg. PKPj Sheikh Hamadi bin Sheikh Abdul Hamid dan pegawai-pegawai SPRM Negeri Johor.
Bacaan Ikrar Bebas Rasuah yang diketuai oleh Akauntan Kanan, Bahagian Kewangan, Encik Mohd Rasyiddiq Bin Mohd Shafie. Ikrar Bebas Rasuah ini merupakan program tahunan KEJORA bagi memastikan warga kerja KEJORA terus komited menolak dan membenci sebarang aktiviti rasuah dalam jabatan.
Seiring dengan Ikrar Bebas Rasuah ini, satu ceramah pengukuhan integriti bertajuk “Kesalahan-Kesalahan Dibawah Akta SPRM 2009” telah disampaikan oleh PsK Azmi bin Yusuf, Penguasa Kanan, SPRM Negeri Johor.
Sebelum itu, disebelah pagi telah berlangsung Majlis Perhimpunan Bulanan KEJORA Bagi Bulan Julai 2024. Pengurus Besar KEJORA, Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil berpesan agar semua pegawai dan kakitangan KEJORA menjaga kesihatan mental (mental health) termasuk pengurusan stress. Pelbagai usaha boleh dibuat antaranya, berehat dan beriadah, berkonvoi secara berhemah, bersukan dan sebagainya. Janganlah kita terlalu sibuk dengan tugas sehingga kita abaikan kesihatan yang Allah kurniakan kepada kita, ujarnya.
Di dalam Majlis Perhimpunan Bulanan ini juga, 3 pasangan Mentor dan Menti di bawah Program Pementoran KKDW Tahun 2024 menerima sijil lantikan masing-masing.
Ingatlah! “Tugas kita bukan mudah, kita akan sentiasa dipantau, diperhatikan dan diadili rakyat atas kebolehan kita melaksanakan tugas dan amanah. Kita akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang dilakukan oleh anggota-anggota tubuh kita pada hari kiamat kelak dan setiap anggota tubuh akan menjadi saksi tentang apa yang telah kita lakukan semasa di dunia”.

𝐊𝐔𝐑𝐒𝐔𝐒 𝐏𝐄𝐌𝐀𝐍𝐃𝐔𝐀𝐍 𝐃𝐄𝐅𝐄𝐍𝐒𝐈𝐅 𝐃𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐄𝐍𝐃𝐀𝐋𝐈𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐍𝐃𝐄𝐑𝐀𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐉𝐎𝐑𝐀

KOTA TINGGI – Kursus Pemanduan Defensif Dan Pengendalian Kenderaan KEJORA telah diadakan pada 12 hingga 14 Julai 2024 bertempat di Savanna Hill Resort, Ulu Tiram, Johor
Kursus yang dihadiri seramai 30 orang pemandu ini diadakan dengan kerjasama penceramah SAC Consultancy Sdn Bhd bersama-sama dengan Pegawai Bahagian Keselamatan, JPJ Negeri Johor. Tujuan utama kursus ini diadakan adalah bagi meningkatkan kesedaran berkaitan kepentingan pemanduan defensif dan cara pengendalian kenderaan yang betul dan tepat.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua peserta yang telah melibatkan diri dalam kursus ini dengan jayanya. TAHNIAH.

𝐊𝐄𝐉𝐎𝐑𝐀 𝐓𝐄𝐑𝐈𝐌𝐀 𝐒𝐈𝐉𝐈𝐋 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐇𝐀𝐑𝐆𝐀𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐃𝐈𝐆𝐈𝐓𝐀𝐋𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐔𝐑𝐔𝐒𝐀𝐍 𝐑𝐄𝐊𝐎𝐃 𝐒𝐄𝐊𝐓𝐎𝐑 𝐀𝐖𝐀𝐌 – 𝐃𝐈𝐆𝐈𝐓𝐀𝐋 𝐃𝐎𝐂𝐔𝐌𝐄𝐍𝐓 𝐌𝐀𝐍𝐀𝐆𝐄𝐌𝐄𝐍𝐓 𝐒𝐘𝐒𝐓𝐄𝐌 𝟐.𝟎 (𝐃𝐃𝐌𝐒 𝟐.𝟎)

Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) telah menerima Sijil Penghargaan Pendigitalan Pengurusan Rekod Sektor Awam – Digital Document Management System 2.0 (DDMS 2.0).
Sijil penghargaan ini telah disampaikan oleh Encik Haizad bin Samian selaku wakil dari Jabatan Digital Negara(JDN) kepada Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA.
Dalam masa yang sama, bermula dari 17 hingga 18 Julai 2024 telah berlangsungnya Bengkel Penggunaan Digital Document Management System 2.0 (DDMS 2.0) KEJORA di Bilik Taklimat Ibu Pejabat KEJORA. Seramai 50 orang anggota KEJORA yang terdiri daripada Pegawai Rekod, Kerani Rekod dan Setiausaha Pejabat telah menyertai bengkel ini.
Sekalung penghargaan kepada pegawai Bahagian Pembangunan Aplikasi, Jabatan Digital Negara iaitu Encik Haizad bin Samian, Penolong Pengarah Kanan, Cik Siti Noorafishah binti Abd Latif, Penolong Pengarah dan Puan Hafiza binti Harun, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat yang sudi berkongsi ilmu bersama anggota KEJORA.
KEJORA begitu optimis dalam meneroka ruang pembaharuan teknologi kearah kesinambungan inisiatif mentransformasikan KEJORA ke tahap yang terbaik serta sentiasa menambahbaik proses pengurusan rekod dari masa ke semasa.

𝐒𝐄𝐋𝐀𝐌𝐀𝐓 𝐃𝐀𝐓𝐀𝐍𝐆 & 𝐒𝐄𝐋𝐀𝐌𝐀𝐓 𝐁𝐄𝐑𝐓𝐔𝐆𝐀𝐒 𝐏𝐄𝐑𝐒𝐎𝐍𝐄𝐋 𝐌𝐘𝐒𝐓𝐄𝐏 𝐊𝐄𝐉𝐎𝐑𝐀

Selamat datang dan selamat bertugas kepada 4 anggota baharu Personel MySTEP KEJORA yang telah melaporkan diri pada 15 Julai 2024.
Mereka yang melaporkan diri ini terdiri daripada Kumpulan Pengurusan dan Profesional (2 orang) dan Kumpulan Pelaksana (2 orang).
Pengurus Besar KEJORA, Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil telah menyampaikan amanat dan nasihat kepada semua Personel MySTEP yang antara lainnya mahukan anggota yang dilantik perlulah sentiasa melindungi kerahsiaan dokumen dan maklumat rahsia rasmi serta tidak menggunakan medium media sosial dalam sebarang urusan yang melibatkan kerahsiaan jabatan.
Pengurus Besar KEJORA juga mengharapkan agar anggota MySTEP dapat menunjukkan prestasi yang baik serta menimba ilmu dan pengalaman yang sebaiknya sepanjang berkhidmat di KEJORA.
Pertemuan ini turut disertai dengan lafaz ikrar Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88] yang disaksikan oleh Pengurus Besar KEJORA dan Pengurus Pentadbiran & Pengurusan Sumber Manusia sebelum menandatangani akujanji ini.
Selamat Bertugas buat semua Personel MySTEP KEJORA.

5 AGENDA BESAR JADI TUMPUAN KKDW TAHUN INI

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) telah mengadakan Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di Grandball Room, Premiera Hotel pada hari ini.
YAB Timbalan Perdana Menteri I dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi telah menyampaikan ucaptama di majlis ini. Dalam ucapannya, beliau telah menggariskan tujuh langkah utama yang perlu digarapkan oleh semua warga KKDW antaranya:-
1. Proaktif Dalam Melaksanakan Tugasan;
2. Mencipta Idea di Luar Kebiasaan;
3. Meluncur Dengan Strategi;
4. Komited Mencapai Matlamat;
5. ‘Follow-up, Follow Through’;
6. Pemasaran Berkesan; dan
7. Perbaiki dan Refleks.
Selanjutnya, YAB TPM juga turut menekankan lima fokus utama yang harus menjadi tumpuan agenda Kementerian antaranya:-
1. Memperkasa dan Mempromosi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
2. Memangkin Pembangunan Halal Negara.
3. Memperkasa Agenda Huffaz Negara.
4. Menyantuni Agenda Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB).
5. Menyelami Nadi Ekonomi Gig Negara.
Senada dengan keyakinan YAB TPM, bahawa dengan dedikasi dan komitmen semua warga KKDW termasuk KEJORA, perubahan yang signifikan dan memberi manfaat besar kepada masyarakat khususnya warga desa akan dapat dicapai.
Majlis perhimpunan pada hari juga menyaksikan persembahan daripada 2 agensi di bawah KKDW iaitu KEJORA dan MARA. KEJORA telah membawakan teater muzikal bertajuk ‘Secubit The Muzikal’ yang mana ianya berkisar mengenai evolusi perubahan kehidupan yang bermula dari kehidupan petani sehingga menjadi usahawan rempah.
Turut hadir dalam Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW ini ialah YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa & Wilayah, YBhg. Datuk Muhd Khair Razman bin Mohammed Anuar, Ketua Setiausaha KKDW, YBhg. Datuk Mas Rizal bin Helmi, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA, Ketua-Ketua Agensi KKDW, Setiausaha-Setiausaha Bahagian KKDW, Pengurusan KEJORA, Pengurusan MARA serta anggota KEJORA.

SAMBUTAN HARI PENEROKA FELDA TAHUN 2024

Sebagaimana kisah penghijrahan Nabi Muhammad SAW, Allahyarham Tun Abdul Razak telah mencetuskan idea yang diumpamakan sebagai sebuah kisah penghijrahan oleh para peneroka awal FELDA dari kampung halaman dan masuk ke tanah-tanah rancangan FELDA telah berjaya merevolusikan pembangunan tanah serta meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat.
Inilah yang disebutkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Hari Peneroka FELDA 2024 di MAEPS, Serdang.
Warga KEJORA juga tidak ketinggalan memeriahkan Sambutan Hari Peneroka FELDA yang ke-68 Tahun 2024
Sekelung tahniah kepada FELDA Teloi Kanan, Wilayah Alor Setar yang telah berjaya memenangi Anugerah Kecemerlangan Rancangan Felda (AKRF) 2024.

𝐊𝐔𝐑𝐒𝐔𝐒 𝐏𝐄𝐌𝐀𝐍𝐓𝐀𝐏𝐀𝐍 𝐒𝐈𝐒𝐓𝐄𝐌 𝐊𝐄𝐖𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐒.𝐀.𝐏 𝟒 𝐇𝐀𝐍𝐍𝐀 𝐊𝐄𝐉𝐎𝐑𝐀 𝐊𝐄𝐏𝐀𝐃𝐀 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐆𝐔𝐍𝐀 𝐒𝐈𝐒𝐓𝐄𝐌

Sebagai salah satu usaha untuk memperkasakan tadbir urus dan meningkatkan produktiviti pengurusan kewangan dan perakaunan KEJORA, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara telah mengadakan Kursus Pemantapan Sistem Kewangan S.A.P 4 HANNA KEJORA yang mengkhususkan kepada sesi latihan pengguna sistem bermula dari 4 hingga 6 Julai 2024 di Grand Lexis, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Perasmian kursus ini telah disempurnakan oleh Pengurus Besar KEJORA, Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil. Beliau turut menyertai kursus ini bersama kakitangan Bahagian Kewangan dan Bahagian Teknologi Maklumat. Manakala pihak Innovation Associates Consulting (IAC) Sdn Bhd selaku konsultan sistem S.A.P 4 HANNA bertindak sebagai pemudahcara kursus.
Antara pengisian yang telah disampaikan ketika sesi latihan yang dijalankan adalah menyentuh tentang pengurusan dan perakaunan sistem hasil, belanja dan belanjawan yang lebih efisyen serta dapat membantu meminimumkan aktiviti yang tidak memberi nilai tambah kepada proses kerja.
Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif IAC Sdn Bhd, Encik Mazlan Tuhiman dan Pengarah Bahagian Penghantaran IAC Sdn Bhd, Encik Md Husaimi Abd Wahab.
Semoga kursus pemantapan sistem kewangan yang telah diadakan ini mampu menjadi pemangkin dalam memberi nilai tambah kepada semua peserta selaku pengguna Sistem S.A.P secara terus dan selanjutnya dapat meningkatkan produktiviti dan penghasilan mutu kerja yang lebih baik khususnya di dalam pengurusan kewangan dan perakauan di KEJORA.

𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐏𝐄𝐍𝐘𝐄𝐑𝐀𝐇𝐀𝐍 𝐁𝐎𝐓 𝐏𝐄𝐋𝐀𝐍𝐂𝐎𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐉𝐎𝐑𝐀 – 𝐒𝐞𝐫𝐢𝐧𝐝𝐢𝐭 𝐂𝐫𝐮𝐢𝐬𝐞 & 𝐁𝐞𝐥𝐮𝐧𝐠𝐤𝐨𝐫 𝐂𝐫𝐮𝐢𝐬𝐞

𝐊𝐄𝐉𝐎𝐑𝐀 𝐄𝐂𝐎𝐓𝐎𝐔𝐑𝐈𝐒𝐌: 𝐄𝐤𝐬𝐩𝐥𝐨𝐫𝐚𝐬𝐢 𝐖𝐚𝐫𝐢𝐬𝐚𝐧 𝐀𝐥𝐚𝐦 𝐒𝐞𝐦𝐮𝐥𝐚𝐣𝐚𝐝𝐢
Nikmati keindahan alam semulajadi di dalam Wilayah KEJORA!
Penyerahan Bot Pelancongan kepada Koperasi Gerak Daya Wawasan Tanjung Serindit Kota Tinggi Berhad dan Koperasi Belungkur Berhad telah diadakan pada hari ini 9 Julai 2024 bertempat di Balairaya Kampung Tanjung Serindit. Penyerahan bot pelancongan ini melibatkan 2 koperasi kampung sebagai penerima iaitu Koperasi Gerak Daya Wawasan Kampung Tanjung Serindit Kota Tinggi Berhad dan Koperasi Belungkor Berhad dengan masing masing menerima sebuah bot pelancongan yang diberi nama Serindit Cruise dan Belungkor Cruise.
Majlis penyerahan 2 buah bot pelancongan ini telah disempurnakan oleh YB Tuan Aznan bin Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Dan Penerangan Negeri Johor, ADUN Tanjung Surat merangkap Ahli Lembaga Pengarah KEJORA. Di dalam ucapannya, Yang Berhormat menyatakan, penyerahan bot pelancongan ini merupakan salah satu inisiatif pihak KEJORA dalam memperkasa dan mempromosikan produk pelancongan luar bandar yang berkonsepkan eco tourism. Beliau menambah, pihak koperasi harus bijak memainkan peranan serta menggunakan bot ini dalam meningkatkan ekonomi setempat serta menjadiakn kampung masing-masing sebagai satu lokasi tarikan pelancong dalam dan luar negara.
Semoga dengan penyerahan bot pelancongan KEJORA ini, kedua-dua koperasi akan dapat meningkatkan lagi pendapatan serta mempromosikan ekopelancongan luar bandar selain dapat memperkenalkan pelancongan luar bandar berasaskan alam semulajadi.

𝐋𝐀𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐊𝐄 𝐏𝐋𝐎𝐓 𝐊𝐀𝐉𝐈𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐀𝐍𝐀𝐌𝐀𝐍 𝐒𝐄𝐂𝐀𝐑𝐀 𝐅𝐄𝐑𝐓𝐈𝐆𝐀𝐒𝐈 𝐃𝐄𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐆𝐔𝐍𝐀𝐀𝐍 𝐈𝐍𝐓𝐄𝐑𝐍𝐄𝐓 𝐎𝐅 𝐓𝐇𝐈𝐍𝐆 (𝐈𝐎𝐓)

Pada 2 Julai 2024 (Selasa), pihak KEJORA telah mengadakan lawatan ke plot kajian penanaman secara sistem Internet of Thing (IoT) di Jabatan Pertanian Serdang.
Lawatan kerja ini diketuai oleh YBrs. Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEJORA dan diiringi oleh Pengurusan KEJORA serta Pegawai-pegawai KEJORA.
Tujuan lawatan kerja ini diadakan adalah untuk mendapatkan penerangan dan pendedahan berkaitan penggunaan sistem Internet Pelbagai Benda (IPB) atau Internet of Things (IoT) dalam mengawal dan memantau aktiviti tanaman yang diusahakan iaitu tanaman melon secara fertigasi. Sehubungan itu, melalui telefon pintar, ianya dapat mengawal dan memantau aktiviti-aktiviti penjagaan tanaman tanpa mengira di mana kita berada.
Penggunaan IoT ini sangat menjimatkan masa mengurus tanaman sekali gus mengurangkan penggunaan tenaga kerja dan seterusnya dapat meningkatkan pengeluaran dan kualiti hasil tanaman.
Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam lawatan ini.

𝐋𝐀𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐔𝐍𝐓𝐔𝐊 𝐂𝐀𝐃𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀𝐒𝐀𝐌𝐀 𝐒𝐓𝐑𝐀𝐓𝐄𝐆𝐈𝐊 𝐊𝐄 𝐀𝐆𝐄𝐍𝐒𝐈 𝐀𝐍𝐆𝐊𝐀𝐒𝐀 𝐌𝐀𝐋𝐀𝐘𝐒𝐈𝐀 (𝐌𝐘𝐒𝐀) 𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐑𝐓𝐀𝐍𝐈𝐀𝐍

Pada 2 Julai 2024, KEJORA telah mengadakan Lawatan Penanda Aras Pengurusan Pembangunan Pertanian di Agensi Angkasa Malaysia, Kuala Lumpur yang bertujuan mendapatkan khidmat nasihat serta penerangan mengenai peranan dan perkhidmatan pihak MYSA yang boleh dikongsi dan digunapakai di dalam pengurusan dan pembangunan KEJORA terutamanya dalam kerja-kerja pemantauan pembangunan kawasan, penyimpanan data-data dan pengezonan kawasan terutamanya dalam bidang pertanian dengan menggunakan teknologi angkasa imej satelit remote sensing serta lain-lain yang berkaitan.
Program ini diketuai oleh YBrs. Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEJORA dan diiringi oleh Pengurusan KEJORA serta Pegawai-pegawai KEJORA.
Terima kasih kepada Y.Bhg. Encik Samsuddin bin Omar, Timbalan Ketua Pengarah (R&D), Agensi Angkasa Malaysia yang telah sudi menyantuni deligasi dari KEJORA serta menyampaikan sedikit perkongsian berkaitan peranan, sumbangan serta khidmat nasihat yang boleh dikongsikan oleh Agensi Angkasa Malaysia.
Semoga segala perkongsian serta pertukaran idea ini dapat meningkatkan lagi perkhidmatan di KEJORA khususnya dalam bidang pengurusan pertanian serta meningkatkan kerjasama strategik di antara KEJORA bersama agensi-agensi kerajaan.