MAJLIS PENYERAHAN SIJIL LAYAK MEMILIKI RUMAH TAMAN PENAWAR HARMONI
BANDAR PENAWAR, 19 Februari – Pada hari ini telah berlangsung Majlis Penyerahan Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR) dan Program J-Home One Stop Centre, Taman Penawar Harmoni, Bandar Penawar yang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Jafni Bin Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor di Dewan KEJORA.
Penerima SLMR pada hari ini boleh terus memohon pinjamaan bank di kaunter yang disediakan oleh Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ). Menariknya, One Stop Centre (OSC) PKPJ pada hari ini, bukan sahaja disediakan kaunter PKPJ untuk memproses sijil dan lain-lain, akan tetapi Pihak PKPJ dan KEJORA juga telah menjemput bank-bank seperti BSN, Bank Rakyat & Bank Muamalat, serta perkhidmatan guaman dan yang paling utama adalah kaunter AKPK atau Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Negara dalam usaha membantu memudahkan rakyat memohon pinjaman kewangan perumahan.
Seramai lebih dari 70 penerima telah menerima SLMR pada hari ini dan telah layak untuk membuat proses seterusnya seperti pengurusan pinjaman perumahan dan sebagainya.
Hadir sama di dalam majlis ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan & Penerangan Johor merangkap ADUN Tanjung Surat, YB Tuan Aznan Hj. Tamin, ADUN Kawasan Penawar, YB Fauziah Misri, Pengurus Besar KEJORA, Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, YDP Majlis Perbandaran Pengerang, YBhg Puan Hajah Zihan binti Ismail, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor, YBrs. Dr. Mohd Shahrizan bin Sahid, Penolong Pegawai Daerah Kota Tinggi, YBrs. Encik Muhammad Hazim bin Zulkifli, Pengurusan Kanan KEJORA serta Pengurusan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ).
Setelah tamat majlis penyerahan ini, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Jafni serta tetamu kehormat telah meluangkan masa untuk melawat Taman Penawar Harmoni yang telah siap dibina serta sedia untuk diduduki.