PROGRAM BELIA DESA MADANI @KKDW
25 Ogos, Jumaat, Johor Bahru – Pada hari ini, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan Best FM sebagai rakan media telah menganjurkan Program Belia Desa Madani @ KKDW di B5 Street Market, Johor Bahru.
Majlis perasmian program Belia Desa Madani @KKDW telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW). Program yang menyasarkan golongan belia serta masyarakat setempat ini diadakan ini adalah sebagai salah satu kaedah untuk mendapatkan maklumat mengenai program-program pembangunan belia yang dijalankan oleh KKDW melalui agensinya di Negeri Johor. Antara kekuatan utama pembangunan belia luar bandar adalah pendidikan berasaskan kepada TVET.
Dalam majlis perasmian ini juga, Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) melalui agensinya telah menyampaikan peruntukan sebanyak RM5.41juta, khusus kepada golongan belia di Negeri Johor. Peruntukan ini akan memberi pulangan kepada 121 penerima termasuk juga kepada golongan anak yatim Wilayah KEJORA.
Dengan kehadiran hampir 10,000 pengunjung, program 1 hari ini telah menampilkan beberapa aturcara antaranya Pertandingan Ratu Batik, Pertandingan Belia Idol, Pertandingan KEJORA Aerofithon Challenge, Karnival TVET – Pertandingan Robo-Soccer, Klinik Pemerkasaan IPPK, KEJORA Bikeshow, Demonstrasi Urutan, Bekam & Gunting Rambut, Taklimat TVET serta pameran agensi.
Pada sebelah malam pula, telah diadakan Malam Kerohanian Belia Best FM dengan penampilan khas dari Kumpulan Hijjaz dan Kumpulan Rabbani.
Dalam pada itu, turut diadakan adalah Program Jualan Rahmah @ Maslee B5 yang mana sebanyak lebih dari 13 barangan keperluan harian telah dijual dengan harga yang murah.
Bagi menarik minat dan menghargai kehadiran pengunjung, beberapa barangan cabutan bertuah telah disediakan oleh pihak KEJORA antaranya sebuah motorsikal LC135.
Semoga program ini menjadi pemangkin kepada golongan belia untuk mempelajari bidang TVET selaras dengan matlamat kerajaan dalam program pembelajaran sepanjang hayat.