SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN KE 65 TAHUN PERINGKAT PARLIMEN PENGERANG

4 SEPTEMBER 2022 I AHAD
Pada hari ini, bersempena dengan Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-65 Tahun Peringkat Parlimen Pengerang, telah diadakan 2 program iaitu:-
1. Program Mobiliti Keselamatan Jalan Raya Parlimen Pengerang di Dewan KEJORA
2. Pertandingan Petanque Parlimen Pengerang di Gelanggang Petanque KEJORA
Seramai 49 anggota KEJORA telah menghadiri program keselamatan jalan raya yang mana, program ini adalah kerjasama antara Pejabat Parlimen Pengerang, JPJ dan KEJORA. Ianya adalah salah satu kaedah dalam usaha memberikan panduan kepada bakal-bakal penunggang motorsikal memahami undang-undang jalan raya.
Manakala seramai 10 pemain petanque KEJORA telah menyertai pertandingan petanque yang mana ianya diadakan secara tertutup dalam kawasan Parlimen Pengerang.
Tahniah KEJORA ucapkan kepada Parlimen Pengerang serta Anggota KEJORA yang turut sama menjayakan program yang telah dirancang. KELUARGA MALAYSIA, TEGUH BERSAMA.

SESI SEMBANG SANTAI ISU PERLAKSANAAN & PENGOPERASIAN MESIN ASHER KEPADA PENDUDUK KAMPUNG MAWAI BARU SEMPENA MINI KARNIVAL DAN HARI BERSAMA AGENSI

4 SEPTEMBER 2022 I AHAD I 11.00 PAGI
Pada pagi ini telah berlangsung Sesi Sembang Santai Isu Pelaksanaan Dan Pengoperasian Mesin Asher Kepada Penduduk Kampung Mawai Baru Sempena Mini Karnival Dan Hari Bersama Agensi.
Majlis telah disempurnakan oleh YBrs. En. Daud bin Abd. Rahman, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KEJORA. Sesi sembang santai ini diadakan adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan serta mendengar masalah berkaitan pengurusan sampah di Kampung Mawai Baru ini. Menjadi harapan KEJORA agar penduduk kampung sama-sama mengambil inisiatif dalam memastikan Kampung Mawai Baru ini sentiasa bersih.
Bersempena dengan Hari Bersama Agensi juga, beberapa agensi seperti Tabung Haji, KWSP, JKM, YAPEM, SSPN dan lain-lain agensi. Turut hadir juga adalah Penghulu Mukim Ulu Sungai Sedili dan Wakil SWCorp.
Terima kasih kepada semua yang menjayakan program pada pagi ini sama ada secara langung atau tidak langsung.

KEMERIAHAN PENGUNJUNG DI PANTAI TANJUNG BALAU

4 SEPTEMBER 2022 I AHAD
Pemandangan kemeriahan kedatangan pengunjung ke Pantai Tanjung Balau bersempena cuti sekolah untuk berehat dan berkelah di Pantai Tanjung Balau.
Kepada semua pengunjung dan bakal pengunjung, jagalah kebersihan pantai kita. Jangan lakukan vandalisme dan sentiasalah menjaga keselamatan diri dan keluarga.

PENYERTAAN LEMBAGA KEMAJUAN JOHOR TENGGARA (KEJORA) DI PROGRAM MALAYSIA FEST 2022 ANJURAN LEMBAGA PEMASARAN PERTANIAN PERSEKUTUAN (FAMA) DI HALL 6B, SINGAPORE EXPO, CHANGI, SINGAPURA

25 HINGGA 28 OGOS 2022
KEJORA telah julung kalinya menyertai Program Malaysia Fest 2022 anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Hall 6B, Singapore Expo, Changi, Singapura bermula 25 hingga 28 Ogos 2022 yang telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Haji Ahmad bin Hamzah, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I.
Program Malaysia Fest 2022 adalah bertujuan mengetengahkan produk-produk halal daripada negara Malaysia, Singapura, Indonesia dan lain-lain. Fokus produk yang dibawa kali ini, adalah seperti produk pelancongan, perkhidmatan, buah-buahan, produk proses dan Industri Asas Tani (IAT), makanan, kesihatan/kecantikan, gaya hidup dan fesyen muslimah dengan jangkaan pengunjung yang hadir adalah seramai 90,000 orang.
Melalui Unit Ekonomi dan Usahawan pihak KEJORA telah menghantar dua (2) orang usahawan dibawah bimbingan KEJORA ke program tersebut iaitu daripada syarikat Anieps Enterprise dan Bestari Food Industri . Hasil daripada penyertaan tersebut usahawan bimbingan KEJORA telah mendapat pendedahan berkenaan produk Halal antarabangsa dan membina hubungan antara peniaga di dalam dan luar negara.
Pada 26 Ogos 2022 majlis menandatangani Memorandom Of Understanding (MOU) antara syarikat Anieps Enterprise bersama syarikat Rock On Trading dan diiringi oleh Ketua Unit Ekonomi dan Usahawan iaitu Encik Mohd Fakharur Razziy Bin Hazran perjanjian ini akan menyasarkan penjualan produk sebanyak RM 20 juta untuk jangka masa lima (5) tahun. Anggaran hasil jualan sepanjang empat (4) hari penglibatan dalam program tersebut adalah sebanyak RM 50,000.00
Pihak KEJORA merakamkan ribuan terima kasih kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) kerana telah memberi peluang kepada usahawan bimbingang KEJORA menyertai program Malaysia Fest 2022 pada kali ini.

MAJLIS PERHIMPUNAN PAGI SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN KE-65 PERINGKAT NEGERI JOHOR TAHUN 2022

31 Ogos 2022 (Rabu),
Iskandar Puteri – Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65, KEJORA turut tidak melepaskan peluang menyertai Acara Perbarisan & Perarakan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Johor.
Kontinjen KEJORA yang segak berpakaian baju melayu berwarna hitam dan bertanjak serta baju kurung kebangsaan berwarna hitam dan bersanggul telah disertai seramai 33 orang anggota KEJORA daripada pelbagai kumpulan.
Kontinjen KEJORA diketuai oleh En. Mohd Sharil bin Ramli.
Tahniah KEJORA & salam kemerdekaan dari KEJORA.

KURSUS PEMBUATAN GUBAHAN HAMPER DAN DEKORASI REBEN

Kursus ini telah diadadakan pada 26-28 Ogos 2022 bertempat di Opero Hotel, Johor Bahru dan dirasmikan oleh En Mohd Fakharur Razziy bin Hazran, Ketua Unit Ekonomi dan Usahawan.
Ia merupakan salah satu inisiatif KEJORA untuk memperkasakan para usahawan membina kerjaya di dalam bidang perniagaan gubahan hamper dan dekorasi reben. Peserta telah diberi pendedahan tentang teknik kemahiran dekorasi reben menggunakan Qribbon Bow Maker serta gubahan hamper mengikut trend terkini yang mampu menjana pendapatan usahawan.
Selepas kursus, peserta boleh mengambil tempahan hamper hari raya, surprise delivery/majlis hari lahir, hantaran pertunangan, perkahwinan atau gubahan bunga dan coklat. Seramai 20 usahawan wilayah KEJORA telah menyertai kursus ini.
Tahniah dan syabas kepada semua peserta.

PROGRAM SEMARAK MERDEKA WILAYAH KEJORA TAHUN 2022

30 OGOS 2022 I SELASA I 12.00 TENGAH MALAM
Pada hari ini telah berlangsung Program Semarak Merdeka Wilayah KEJORA Tahun 2022 di Pantai Punggai. Program Semarak Merdeka ini dimulakan dengan pelepasan konvoi 65 buah motorsikal dari Ibu Pejabat KEJORA ke Pantai Punggai oleh YBhg. Dato’ Pengurus Besar KEJORA
Seterusnya, majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Tuan Aznan bin Tamin ADUN Tg. Surat. Turut hadir ialah YBhg Dato’ Hj. Mohd Rusdi bin Mohd Darus, Pengurus Besar KEJORA, Pengurusan Kanan KEJORA, Pengurus Bahagian & Ketua Unit, Wakil-Wakil Agensi serta belia-belia kawasan DUN Tg. Surat.
Selepas perasmian ini, pelbagai program sukan rakyat telah berlangsung antaranya pertandingan ting ting, permainan guli, sepak raga bulatan dan sebagainya. Selain itu, turut diadakan pertandingan karaoke lagu patriotik.
Di sebelah malam pula, KEJORA telah menampilkan 2 orang artis terkenal tanah air iaitu Ara Johari & Ronnie Hussain. Selain itu, turut memberikan persembahan adalah dari Damak Buskers, persembahan seni & kebudayaan dari kampung-kampung di dalam DUN Tg. Surat.
Kemuncak program malam ini adalah laungan Merdeka dari pengunjung yang diketuai oleh YB ADUN Tg Surat.
Semoga kemerdekaan yang dicapai ini akan terus berkekalan sampai bila-bila.

PERHIMPUNAN BULANAN LEMBAGA KEMAJUAN JOHOR TENGGARA (KEJORA) BAGI BULAN OGOS TAHUN 2022

28 OGOS 2022 I AHAD I 1.00 PETANG
Pada hari ini telah berlangsung Majlis Perhimpunan Bulanan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) bagi bulan Ogos tahun 2022 di Dewan KEJORA Bandar Penawar. Majlis telah disempurnakan oleh YBrs Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEJORA.
Turut hadir ialah YBrs. En. Daud bin Abd Rahman, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Pengurus-Pengurus Bahagian & Ketua Unit, Pengurusan Kanan, anggota KEJORA serta Pengurusan Tertinggi Anak Syarikat KEJORA.
Di dalam ucapan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) beliau menyeru agar semua warga KEJORA memberikan komitmen kepada setiap aktiviti yang dijalankan. Selain itu, disentuh juga di dalam ucapannya ialah pemakaian Pekeliling Perbendaharaan Malaysia PB 3.1 yang telah dikeluarkan pada 14 Julai 2022 iaitu Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam yang mana ianya berkait rapat dengan Pengurusan Kewangan di KEJORA.
Dalam pada itu, telah diadakan Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Prestasi Baik Tahun 2021 serta gimik penyerahan Jalur Gemilang bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2022. Majlis diserikan lagi dengan Sesi Pengenalan Anggota dan Bacaan Aku Janji Anggota Baharu KEJORA, Penyampaian Hadiah Sempena Program Kesedaran ISMS 2022 dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Penjenamaan Semula Bilik Mesyuarat KEJORA.

PROGRAM PEMBANGUNAN BAKAT & KEPIMPINAN (BAKAT) 2022

Program Pembangunan Sukan Golf merupakan salah satu program di bawah Program Pembangunan Bakat dan Kepimpinan (BAKAT) tahun 2022. Program ini bertujuan untuk mengenalpasti peserta di Wilayah KEJORA yang
mempunyai potensi dan bakat untuk dikembangkan melalui program-program yang dianjurkan oleh pihak KEJORA ke peringkat yang lebih tinggi.
Program Golf Skill Junior (GSJ) ini telah mula dilaksanakan bermula 22 Mei 2022 bertempat di Driving Range, Bandar Penawar sebanyak 16 sesi latihan yang melibatkan seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada 18 peserta kategori Terbuka Sekolah Rendah berumur di antara 7 hingga 12 tahun, Kategori Sekolah Menengah (Lelaki) seramai 7 orang peserta seterusnya Kategori Sekolah Menengah (Perempuan) 5 orang peserta.
Pada hari ini, telah berlangsung Pertandingan Golf Skill Junior bagi melihat keberkesanan serta potensi setiap peserta.
Jutaan terima kasih kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Daerah Kluang Daerah Pasir Gudang atas komitmen yang diberikan.
Tahniah kepada semua peserta yang berjaya & setiap kegagalan adalah permulaan kearah kejayaan.

BENGKEL PENSTRUKTURAN SEMULA ORGANISASI DAN PENGUKUHAN PERJAWATAN KEJORA

OGOS 2022
KEJORA telah melaksanakan Bengkel Penstrukturan Semula Organisasi dan Pengukuhan Perjawatan KEJORA dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada 23 – 24 Ogos 2022, (Selasa – Rabu).
Bengkel ini bertujuan untuk menilai dan mempertimbangkan permohonan penstrukturan organisasi dan perjawatan KEJORA berdasarkan kepada penyusunan fungsi serta peranan jabatan dalam melaksanakan pembangunan wilayah.
Selain itu juga telah diadakan juga lawatan ke beberapa tempat sekitar wilayah KEJORA seperti Muzium Nelayan Tanjung Balau, Desaru Fruit Farm dan juga IKS Bandar Mas bagi memperkenalkan fungsi dan peranan KEJORA dalam membangunkan wilayah Johor Tenggara.