MAJLIS PENYERAHAN SUMBANGAN PASCA BANJIR WILAYAH KEJORA 2022

16 Mac 2022 – Empat penduduk Kampung Jomis / Kampung Bukit Raja Darat, Pengerang, Kota Tinggi, Johor yang terjejas akibat bencana banjir pada Disember 2021 dan Januari 2022 yang lalu menerima Sumbangan Pasca Banjir Wilayah KEJORA 2022.
Penyampaian sumbangan ini diketuai oleh Encik Mus-Irwan bin Misroom, Ketua Unit Integriti KEJORA, turut hadir Encik Zainudin bin Kassan, Pengerusi JPKK Kampung Bukit Raja.
Semoga dengan sumbangan ini dapat memberikan keceriaan serta meringankan beban penduduk kampung yang terkesan akibat bencana banjir tersebut.

SESI LAWATAN TAPAK DAN PERBINCANGAN BAGI PELAKSANAAN FORUM PERDANA EHWAL ISLAM SEMPENA SAMBUTAN JUBLI EMAS KEJORA

Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) melalui Unit Pengurusan Fasiliti telah membuat satu sesi lawatan ke Pantai Tanjung Balau bagi pelaksanaan Forum Perdana Ehwal Islam yang akan dianjurkan pada Jun 2022 bersempena sambutan Jubli Emas KEJORA.
Turut hadir, Puan Hazidah binti Hasnan, Penolong Pengarah Kanan Seksyen TV, Bahagian Penyiaran JAKIM serta wakil rasmi RTM, Encik Hadi Rahim, Penerbit TV dan Encik Ahmad Shaiful Redha bin Razak, Jurutera Penyiaran.
Lawatan ini turut membincangkan mengenai kos, persiapan juga kerjasama bagi menjayakan program perdana ini bersiaran secara live di RTM1.

MAJLIS PENYERAHAN SUMBANGAN PASCA BANJIR WILAYAH KEJORA

Pada 16 Mac 2022, telah berlangsungnya Majlis Penyerahan Sumbangan Pasca Banjir Wilayah KEJORA kepada 9 orang penduduk Kg. Melayu Batu 4, Paloh Kluang Johor.
Majlis yang diketuai oleh En. Abd Qayyum bin Abd Rahman selaku Penggerak JPKK Kampung dan 5 orang wakil daripada Unit Pelaburan KEJORA telahpun dilaksanakan dengan jayanya.
Semoga dengan sumbangan yang telah diberikan dapat memberikan keceriaan serta meringankan beban penduduk kampung yang terkesan dengan bencana banjir tersebut.

LAWATAN TEKNIKAL PROJEK PEMBANGUNAN KEJORA OLEH PESERTA MAJLIS BERSAMA JABATAN (MBJ) JABATAN PENILAIAN DAN PERKHIDMATAN HARTA (JPPH) DAN JPPH JOHOR

Pihak KEJORA telah menerima kunjungan dari Majlis Bersama Jabatan (MBJ) Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan JPPH Johor pada 14 Mac 2022 bertempat di Muzium Nelayan Tanjung Balau.
Lawatan ini diketuai oleh Surveyor Abdul Razak bin Yusak, Timbalan Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta (Dasar Strategik) yang melibatkan seramai 30 orang peserta MBJ.
Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) dan Encik Daud bin Abd. Rahman, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) turut hadir bagi meraikan kedatangan peserta lawatan.
Turut diadakan, sesi Taklimat Pembangunan Pelancongan Tanjung Balau serta peserta dibawa melawat ke Muzium Nelayan Tanjung Balau dan projek pembangunan infrastruktur Tanjung Balau Fasa 1.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak telah berkongsi pengalaman bagi penambahbaikan berterusan dan meningkatkan kerjasama di antara Jabatan.

KUNJUNGAN RAMAH MESRA KEMENTERIAN PEMBANGUNAN LUAR BANDAR (KPLB) KE PULAU TANJUNG SURAT

KEJORA telah menerima kunjungan Kembara Ramah Mesra Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) ke Pulau Tanjung Surat, Daerah Kota Tinggi, Johor. Program Kembara Ramah Mesra ini diadakan bersempena dengan beberapa siri pembangunan pelancongan yang telah dirancang di Pulau Tanjung Surat dan juga salah satu kaedah dalam mempromosikan Pulau Tanjung Surat.
Kembara Ramah Mesra KPLB ini telah diketuai oleh Dato’ Ramlan bin Harun, Ketua Setiausaha KPLB dengan diiringi oleh En. Muhamad Nur Aizat bin Noor Azam, Setiausaha Politik Yang Berhormat Menteri KPLB, Dato’ Che Zakaria bin Mohd Salleh Pengerusi KEJORA, Dato’ Hj. Mohd Rusdi bin Mohd Darus, Pengurus Besar KEJORA serta Pengurusan KEJORA.
Beberapa program telah diadakan antaranya, taklimat projek pembangunan Pulau Tanjung Surat, taklimat pembangunan jeti Kampung Linting dan Kampung Nyior, program menanam anak pokok bakau, demonstrasi pembuatan jong serta berbasikal di sebahagian laluan darat di Pulau Tanjung Surat.
Selain itu juga, program Kembara Ramah Mesra KPLB juga telah melawat Galeri Warisan Pulau Tanjung Surat yang mana, galeri ini dibangunkan secara usahasama antara KEJORA dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Rombongan juga telah disajikan dengan beberapa makanan tradisi Pulau Tanjung Surat antaranya, Nasik Lemak Daun Simpuh, Kuih Roti Berlauk, Kuih Jongkong, Kuih Bakar dan Sup Gamat.
Program Kembara Ramah Mesra ini juga dijalankan secara kolaborasi strategik diantara KEJORA, BOMBA, KASTAM, APM dan Belungkor Venture. Terima kasih kepada semua yang telah menjayakan program ini sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“PROGRAM INSPIRASI USAHAWAN” – PROGRAM BINA INSAN (PBI), SKIM PEMBANGUNAN KESEJAHTERAAN RAKYAT (SPKR) WILAYAH KEJORA

“PROGRAM INSPIRASI USAHAWAN” – PROGRAM BINA INSAN (PBI), SKIM PEMBANGUNAN KESEJAHTERAAN RAKYAT (SPKR) WILAYAH KEJORA
KEJORA melalui Bahagian Pembangunan Sosial dan Pemajuan Desa telah menganjurkan “Program Inspirasi Usahawan” – Program Bina Insan (PBI), Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) Wilayah KEJORA bertempat di Pulau Pinang.
Program ini telah disertai seramai 30 orang yang merupakan penerima bantuan Program Peningkatan Pendapatan (PPP), Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) Wilayah KEJORA.
Melalui penganjuran program ini, peserta didedahkan dengan teknik dan ciri-ciri usahawan berjaya melalui sesi motivasi keusahawanan. Peserta juga turut berpeluang mengikuti lawatan ke Kompleks Jeruk Madu Pak Ali, Simpang Ampat Pulau Pinang bagi melihat sendiri kaedah pemprosesan jeruk serta perkongsian ilmu dan pengalaman oleh YBhg. Dato’ Haji Alias bin Haji Ali, Pengarah Urusan Pak Ali Food Industries Sdn. Bhd.
Seterusnya sesi lawatan dan perkongsian ilmu dalam industri pemprosesan makanan oleh usahawan-usahawan dibawah bimbingan PERDA yang diadakan di Kompleks PERDA (PERDA Food Park) serta lawatan ke Desamall@PERDA untuk diberikan pendedahan mengenai konsep perniagaan eDagang dan ekosistem jualan yang lengkap bagi usahawan luar bandar.
Semoga dengan penganjuran program ini dapat menyuntik semangat dan inspirasi kepada para peserta agar lebih bermotivasi untuk berusaha meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam bidang yang diceburi sekaligus melahirkan usahawan yang berdaya saing dan mengikut arus kemajuan dalam bidang perniagaaan dan keusahawanan. Tahniah dan syabas diucapkan kepada para peserta.

HARI KRAF KEBANGSAAN 2022

Penyertaan Usahawan KEJORA dalam Hari Kraf Kebangsaan 2022 (HKK2022)
Hari Kraf Kebangsaan 2022 (HKK 2022) merupakan satu program dan komitmen Kerajaan menggalakkan komuniti warga Malaysia menghayati dan melibatkan diri secara langsung dalam pembangunan dan pelaksanaan dasar dengan berkesan.
HKK 2022 ini telah dijalankan pada 23 Februari 2022 hingga 7 Mac 2022 dengan tujuh (7) orang penyertaaan usahawan daripada Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA).
Salah seorang usahawan iaitu Puan Norida binti Dahlan yang merupakan Pengusaha Norli Creation telah dipilih sebagai pemenang bagi Pertandingan Anugerah Inovasi Kraftangan Malaysia 2021 dan Wicitra Malaysia Craft Award 2021 yang akan disampaikan pada 7 Mac 2021 bertempat di Komplek Kraf Kuala Lumpur.
Aktiviti yang dilaksanakan sepanjang HKK tersebut termasuk pameran dan jualan produk komuniti kraf, aktiviti demonstrasi penghasilan produk komuniti kraf, jualan jumbo, seminar dan sesi komuniti kraf.
Tahniah diucapkan kepada Usahawan Kluster Kraf KEJORA.
#KPLB
#KEJORA
#LuarBandarSejahtera
#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat
#JubliEmasKEJORA
#Penerajuteraskemakmuran

 

KARNIVAL MEMANCING PUNGGAI @ KEJORA 2022

Hari pertama menyaksikan beberapa acara telah dijalankan iaitu Punggai Exploride & Punggai Idol 2022. Selain itu, pihak Joran Bagus turut membuka pendaftaran Pertandingan Memancing bermula jam 8 pagi. Orang ramai mula hadir memeriahkan karnival dengan pematuhan SOP yang telah ditetapkan. Sebentar tadi telah berlangsung Persembahan Buskers dari Damak Buskers. Jom beramai-ramai kunjungi Karnival Memancing Punggai @KEJORA 2022. Pertandingan memancing akan bermula esok dengan acara sampingan iaitu Pertandingan Dam Aji dan Sukan Ria Dewasa.

PERLAWANAN PERSAHABATAN MEREBUT PIALA PENGERUSI KELAB ANGGOTA KEJORA

Perlawanan Persahabatan Merebut Piala Pengerusi Kelab Anggota KEJORA di antara Sektor Pengurusan Vs Sektor Pembangunan telah dihadiri oleh Yang Di Hormati Puan Marlina Binti Amir, Timbalan Pengurus Besar Pengurusan KEJORA dan Yang di Hormati Encik Daud Bin Abd Rahman Timbalan Pengurus Besar Pembangunan KEJORA. Terdapat dua sukan yang dipertandingkan iaitu bola sepak dan bola jaring. Tahniah kepada Pasukan daripada Sektor Pembangunan yang teleh memenangi kedua-dua pertandingan.

KURSUS PENGUKUHAN ORGANISASI HOMESTAY WILAYAH KEJORA TAHUN 2022

Alhamdulillah, pada 1 hingga 3 Mac 2022, KEJORA melalui Bahagian Pelancongan telah menganjurkan Kursus Pengukuhan Organisasi Homestay Wilayah KEJORA Tahun 2022 bertempat di Bayu Balau Beach Resort. Kursus ini memberi pendedahan dan penekanan kepada para peserta berkaitan aplikasi Sistem MyHomestay yang telah dibangunkan oleh Bahagian Teknologi Maklumat KEJORA. Selain itu, peserta juga didedahkan berkaitan pengenalan homestay, perbezaan homestay dengan kampungstay, tadbir urus homestay yang terbaik, pengurusan mesyuarat, penyediaan laporan kewangan, pengurusan acara dan pembangunan pakej serta pertubuhan koperasi. Mesyuarat Penyelarasan Homestay Wilayah KEJORA Bil. 1/2022 turut diadakan pada 1 Mac 2022 bagi membincangkan isu dan masalah berkaitan homestay di Wilayah KEJORA.
Kursus ini mendapat kerjasama yang baik daripada Pejabat Kementerian, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Negeri Johor, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang bertindak selaku penceramah sepanjang kursus ini berlangsung.
Kursus ini telah disertai seramai 21 orang yang meliputi pengusaha-pengusaha Homestay Wilayah KEJORA dan wakil JPKK yang terpilih iaitu
a. Jawatankuasa Homestay Kg Mawai Baru;
b. Jawatankuasa Homestay Kg. Johor Lama;
c. Jawatankuasa Homestay Kg. Sedili Kecil; dan
d. Wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Kg. Tanjung Surat.
Majlis penutupan kursus telah dirasmikan oleh YBhg. Encik Daud bin Abd Rahman, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) selaku wakil rasmi Pengurus Besar KEJORA. Turut hadir Puan Suraya Hani binti Sharan, Pengurus Pelancongan KEJORA.
Semoga dengan penganjuran kursus ini dapat meningkatkan mutu kualiti dalam memperkasakan homestay wilayah KEJORA serta memartabatkan sektor pelancongan di kawasan kampung yang terlibat.