SEKITAR PEMANTAUAN DAN PEMBERSIHAN KAWASAN PENTAI TANJUNG BALAU

Sekitar pemantauan & pembersihan kawasan Pantai Tanjung Balau.

SILA PATUHI ARAHAN YANG ADA DI SEKITAR PANTAI TANJUNG BALAU

Untuk makluman semua Pantai Tanjung Balau, kawasan ini adalah KAWASAN LARANGAN untuk dikunjungi. Kawasan ini sedang dinaiktaraf bagi kemudahan akan datang.
Pihak KEJORA tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini dikawasan ini akibat kecuaian tuan/puan sekalian.

KEBERSIHAN PANTAI TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Untuk makluman pengunjung Pantai Tanjung Balau, pihak Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) & Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) telah menyediakan 60 unit tong sampah di sekitar kawasan yang menjadi tumpuan pengunjung Pantai Tanjung Balau. Tong sampah berpenutup ini diletakkan dilokasi perkelahan dengan radius lebih kurang 50 meter bagi memudahkan orang awam membuang sampah di tempat yang disediakan.
Pihak KEJORA berharap para pengunjung turut bertanggungjawab dengan membuang sampah ke dalam tong sampah yang telah sediakan.
Seeloknya sampah tersebut dibungkus & diikat didalam plastik dengan kemas agar ianya tidak mudah diselongkar oleh haiwan liar.
Kebersihan adalah tanggungjawab bersama. Sesungguhnya kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman, manakala sebahagian lagi ialah amalan kita yang mulia dan soleh.

LAWATAN KERJA PROGRAM KEUSAHAWANAN KEJORA BERSAMA GEMBOX

Dalam merancang,mengurus dan melaksanakan pembangunan luar bandar di wilayah KEJORA ,aktiviti-aktiviti berteraskan pembangunan ekonomi dan keusahawanan menjadi teras dan fokus pengurusan KEJORA di dalam memastikan kesenjangan ekonomi luar bandar dan di bandar dapat diseimbangkan.
Pada 19 Januari 2023 (Khamis), satu sesi lawatan kerja KEJORA melalui Unit Ekonomi dan Usahawan bersama pihak Gembox telah diadakan bagi melihat sendiri peluang dan ruang yang boleh dikongsikan kepada usahawan yang berdaftar di Wilayah KEJORA. Gembox @ Nilai merupakan satu projek ”Wow Malaysia’’ yang menjadi destinasi pelancongan di Negeri Sembilan dan satu platform pemasaran perniagaan baharu di Malaysia.Projek ini berkonsepkan bandar wawasan dan terancang seluas 55ekar dan daripada keluasan tersebut seluas 25 ekar di bawah seliaan syarikat Mascos Sdn. Bhd telah dibangun pusat pasar malam terbesar di Malaysia serta menjadi pusat Pelancongan tanpa tunai pertama di Malaysia yang mempromosikan kebudayaan, produk kraftangan, pakaian tradisional, produk makanan & minuman tradisi dan pelbagai lagi melibatkan negeri negeri yang ada di dalam Malaysia.Di dalam sesi lawatan tersebut,KEJORA juga berasa berbangga apabila mendapati ada usahawan bimbingan mereka telahpun mengambil peluang untuk berniaga,mengembangkan sayap perniagaan dan mempromosi produk mereka di GEMBOX,Nilai Negeri Sembilan.
Rombongan dari KEJORA juga turut diberikan taklimat berkaitan dengan pengoperasian GEMBOX yang diketuai oleh En Kevin Tan (Timbalan Pengurus Besar Gembox) bersama En Edwin Liet (Senior Operation Manager). Manakala pihak KEJORA telah diketui oleh En Daud Bin Abd Rahman (Timbalan Pengurus Besar, Pembangunan) serta pegawai daripada pengurusan pembangunan iaitu Unit Ekonomi dan Usahawan,Unit Pengurusan Fasiliti,Bahagian Pelancongan,Bahagian Pembangunan Sosial dan Pemajuan Desa,Bahagian Pertanian dan Industri Asas Tani serta turut bersama sama wakil daripada Persatuan Peniaga dan Usahawan KEJORA (PuPUK) iaitu En Ahmad Salleh Bin Kamar dan En Mohd Harizal Bin Khalid. Diharapkan platform yang berpotensi tinggi ini dapat memberi manfaat kepada para usahawan luar bandar dalam wilayah KEJORA khususnya di dalam meningkatkan jaringan perniagaan serta mempromosi produk di luar wilayah.
Syabas dan Tahniah.
KEJORA BERKUALITI,RAKYAT MENIKMATI

SESI PEMBERIAN CENDERAHATI

18 Januari 2023 – Sesi pemberian cenderahati untuk penyumbang bahan bagi penerbitan buku Coffee Table KEJORA sempena Sambutan Jubli Emas KEJORA kepada Pn. Hjh. Rubiah binti Hj. Sidik (Penulis Lirik Lagu KEJORA), Tn. Hj. Ismail bin Hj. Hassan (Pencipta Lagu KEJORA) dan En. Mokhtar bin Salleh (Pembantu Operasi daripada Bahagian Kewangan). Turut diberikan cenderahati penghargaan adalah Pn Hjh Normah binti Hussin dan Tn Hj Ilias bin Yasin & En. Abdul Karim bin Omar yang merupakan bekas Anggota KEJORA.
Cenderahati penghargaan telah disampaikan oleh Ketua Unit Audit Dalam, En. Mohamad Rizal bin Mohd Hidzir. Turut hadir adalah En. Mohamad Azli Shafii bin Mohd Raub serta Pn. Zulaiha binti Abd Kadir dari Unit Audit Dalam KEJORA.

SEMINAR PECUTAN AKHIR SPM SIRI 1 WILAYAH KEJORA TAHUN 2023

18 Januari 2023 – Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) telah melaksanakan Seminar Pecutan Akhir SPM Siri 1 Wilayah KEJORA Tahun 2023 dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPN Johor) , Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Kluang dan Kulai di Dewan Besar Kolej Profesional Mara, Bandar Penawar.
Program seminar ini merupakan program lanjutan Program Pintar@MyGuru 2022 yang melibatkan 1000 orang pelajar dengan pecahan 500 orang pelajar Tingkatan 5 dari Sekolah Menengah dan 500 orang pelajar Darjah 6 dari Sekolah Rendah di dalam Wilayah KEJORA yang terdiri daripada kalangan KIR Miskin Tegar/ Miskin dan B40.
Pelaksanaan seminar siri 1 ini dilaksanakan dengan pengisian subjek Bahasa Inggeris dan Sejarah. Pelajar-pelajar ini didedahkan dengan teknik menjawab soalan serta modul ulang kaji yang efektif.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KEJORA, En. Daud bin Abd Rahman. Turut hadir adalah Encik Noor Azam bin Yusoff; Timbalan PPD Sektor Pembangunan PPD Kota Tinggi, Encik Mohd Khairulnisa Bin Nashuri; Pegawai SISC + TVET PPD Kulai, Encik Hazawi bin Raya ; Penolong Pegawai Pendidikan Pemulihan PPD Kluang serta guru-guru pengiring di 18 buah sekolah Wilayah KEJORA.
Semoga pelajar-pelajar ini mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Tahun 2023.

LAWATAN KERJA YB DATUK HAJAH RUBIAH BINTI HAJI WANG, TIMBALAN MENTERI KEMAJUAN DESA & WILAYAH (KKDW) KE KEJORA

Pada 16 hingga 17 Januari 2023, YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) telah mengadakan lawatan kerja ke KEJORA.
Sesi lawatan kerja ini dimulakan dengan taklimat pembangunan KEJORA oleh Pengurus Besar KEJORA, Dato’ Hj. Mohd Rusdi bin Mohd Darus kepada semua deligasi. Taklimat ini merangkumi keseluruhan pencapaian KEJORA, fungsi, visi, misi serta hala tuju KEJORA.
Seterusnya, YB Datuk Hajah Rubiah bin Haji Wang telah beramah mesra dengan semua anggota KEJORA termasuk ketua-ketua agensi KKDW Negeri Johor di dalam majlis amanat & perhimpunan bulanan KEJORA. Di dalam ucapannya, YB Datuk Timbalan Menteri menyatakan keterujaannya untuk mengadakan lawatan ke KEJORA. Beliau menambah, KEJORA telah berjaya membangunkan Wilayah Johor Tenggara dengan segala kelengkapan dan infrastruktur termasuk pembangunan pelancongan, pertanian, ekonomi dan sahsiah penduduk.
Di dalam majlis ini juga, YB Datuk Timbalan Menteri telah menyampaikan sumbangan kepada 8 mahasiswa Program KEJORA Bakti Siswa, 5 penerima Skim Bantuan Modal Niaga KEJORA (SBMN) dan 5 penerima Program Skim Pembiayaan Ekonomi Pertanian KEJORA (SPEP).
Didalam lawatan kali pertama ini, kesemua deligasi telah dibawa melawat ke beberapa tempat seperti:-
1. Bayu Balau Beach Resort
2. Kampung Tersusun Nelayan Tanjung Balau
3. Chalet Bayu Balau
4. Tapak MTB & Xtreme Park Tanjung Balau
5. Promenade Tanjung Balau
6. Muzium Nelayan Tanjung Balau
7. Perumahan Tersusun Tuan Seh
8. Ladang Koperasi Wawasan Tuan Seh
9. Teratak Penawar
10. Taman Penawar Harmoni
11. Projek Pembangunan Smart Auto KEJORA
YB Datuk Timbalan Menteri telah diberikan taklimat disetiap lokasi lawatan. Tujuan lawatan ini adalah bagi mendapatkan gambaran sebenar pembangunan beberapa projek KEJORA terutama pembangunan Rumah Mampu Milik dan pembangunan lain.
Turut serta dalam lawatan kerja ini adalah Setiausaha Bahagian Penyelarasan & Pemantauan KKDW, Dato’Afandi bin Nordin, Pengarah PKN Johor, En. Khairudin bin Abdullah, Wakil SUB Bahagian Tanah & Wilayah KKDW, Pengurusan Kanan KEJORA serta deligasi KKDW yang lain.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang (Rubiah Wang) atas lawatan kerja ke KEJORA.
#PenerajuTerasKemakmuran

LAWATAN TAPAK KE PULAU TANJUNG SURAT, KOTA TINGGI UNTUK PROGRAM “KEMBARA KEJORA-UNVEILS ITS WONDERS 2023”

Pada 13 Januari 2023 yang lepas, Bahagian Pelancongan KEJORA telah menerima lawatan dari deligasi Tourism Malaysia Wilayah Selatan bagi tinjauan awal program Kembara KEJORA-Unveils its Wonder 2023.
Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Encik Muhamad Nasir Pahmi telah hadir bersama beberapa orang pegawai bagi meninjau dan melihat lokasi yang akan dilawat oleh pengamal media nanti.
Tahniah kepada Bahagian Pelancongan KEJORA yang telah mula mempromosikan pelancongan luar bandar Wilayah KEJORA.
Jumpa nanti kepada semua pengamal media!!!!!!
#PenerajuTerasKemakmuran

SEMBANG SANTAI KKDW BERSAMA MEDIA

Sesi sembang santai Timbalan Perdana Menteri & Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama media telah berlangsung pada petang ini di Atmospere 360, Menara Kuala Lumpur.
Sesi sembang santai ini diadakan sebagai penghargaan kepada pihak media yang sentiasa memberi sokongan padu tanpa jemu terutama dalam menghebahkan program dan inisiatif berkaitan pembangunan dan usaha dalam melonjakkan kemajuan desa.
Turut hadir didalam program ini ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YB Datuk Hjh. Rubiah binti Hj. Wang, Ketua Setiausaha KKDW, YBhg. Dato’ Sri Ramlan bin Harun serta Pengurusan Kanan KKDW. Pengurus Besar KEJORA, YBhg. Dato’ Hj. Mohd Rusdi bin Mohd Darus turut serta bagi sama-sama dalam program ini.

PENYERAHAN SATU (1) UNIT MESIN PELLET MAKANAN TERNAKAN DI BAWAH PROGRAM SKIM PEMBIAYAAN EKONOMI PERTANIAN (SPEP) SIRI 2 TAHUN 2022

9 Januari 2023 – Pihak KEJORA pada hari ini telah menyerahkan satu (1) unit mesin pellet kepada Koperasi Wawasan Tuan Seh Tanjung Sedili Kota Tinggi Berhad (KOTS) bagi projek ternakan kambing di Kampung Tuan Seh, Sedili, Kota Tinggi, Johor.
Penyerahan ini telah disempurnakan En. Daud bin Abd. Rahman, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KEJORA kepada En. Dani bin Md Yusof, Pengerusi Koperasi Wawasan Tuan Seh Tg. Sedili Kota Tinggi Berhad (KOTS). Turut hadir adalah Cik Siti Fazueri binti Radzali, Pengurus Pertanian dan Industri Asas Tani, Ahli Lembaga Koperasi serta serta pegawai KEJORA.
Dengan peruntukan pembelian mesin sebanyak RM18,850.00, pelaksanaan program SPEP adalah bertujuan membantu usahawan tani di Wilayah KEJORA melaksanakan projek-projek pertanian sedia ada, berdaya maju secara kecil-kecilan serta konsisten seterusnya berpotensi untuk dikembangkan bagi tujuan pengeluaran hasil tani yang lebih baik dan berskala besar.
Semoga, program SPEP ini menjadi asbab, perusahaan ternakan kambing yang diusahakan oleh KOTS akan terus maju jaya!!