EKOPELANCONGAN WILAYAH KEJORA TARIK PERHATIAN ANTARABANGSA DI EXPO DUNIA 2025, OSAKA

Aura budaya dan keunikan desa Malaysia menjadi perhatian di pentas global apabila Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) menyertai Expo Dunia 2025 Osaka pada minggu yang dikhaskan untuk Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), dari 16 hingga 20 Jun 2025 di Pavilion Malaysia.
Dengan tema “Rural Charms, Cultural Wonders”, Minggu KKDW menyajikan empat segmen utama yang memukau pengunjung antarabangsa – iaitu Pelancongan Tradisional, Showcase Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Demonstrasi Kraftangan Orang Asli, serta Keusahawanan Desa di bawah KKDW.
Reruai KEJORA tampil dengan menggunakan pendekatan inovatif dalam mempromosikan pelancongan desa melalui teknologi interaktif dan digital. Penggunaan video imersif pengalaman realiti maya (VR) membawa pengunjung mengembara secara maya ke destinasi pelancongan desa KEJORA yang mempamerkan pesona semula jadi, budaya tempatan dan tarikan desa yang menawan seperti Pulau Tanjung Surat, Kampung Johor Lama, Muzium Nelayan Tanjung Balau dan Kampung Tanjung Serindit.
Aktiviti menarik lain yang turut disediakan adalah demonstrasi kraf dan budaya iaitu mencanting batik yang boleh disertai secara interaktif bersama pengunjung dan pameran replika Jong Tradisi serta paparan video promosi berdefinisi tinggi yang memperkenalkan pesona desa dan keindahan alam semulajadi di Wilayah KEJORA.
Terima kasih kepada KKDW serta lebih 40 ribu warga Osaka dan pelawat antarabangsa yang tidak putus-putus mengunjungi reruai KEJORA sempena Minggu KKDW di Pavillion Malaysia – Terus kunjungi kami di reruai KEJORA kerana sokongan anda adalah nadi kepada usaha kami memperkenalkan KEJORA sebagai destinasi pelancongan desa yang bertaraf dunia.

KEJORA TERUS KOMITED MEMPROMOSIKAN PELANCONGAN DESA KE PERSADA ANTARABANGSA DI OSAKA, JEPUN

KEJORA terus melangkah di pentas antarabangsa apabila satu delegasi rasmi yang diketuai oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA, mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Tourism Malaysia Osaka pada 16 Jun 2025. Turut mengiringi beliau ialah Encik Mohd Fakharur Razziy bin Hazran, Pengurus Pelancongan KEJORA, Datin Siti Azni binti Zakaria, Pengurus Teknologi Maklumat KEJORA, serta Encik Muhammed Iqbal bin Rosli, Penolong Kurator Muzium Nelayan Tanjung Balau. Kehadiran delegasi KEJORA disambut penuh mesra oleh Cik Kimiko Shimizu dan Encik Kenji Higashida dari pasukan pemasaran Tourism Malaysia Osaka.
Pertemuan strategik ini menjadi platform penting untuk KEJORA memperkenalkan produk pelancongan unik wilayah KEJORA ke pasaran Jepun seperti Kompleks Pelancongan Pantai Tanjung Balau yang mempunyai Tapak Warisan Geologi dan Muzium Nelayan Tanjung Balau, Ekopelancongan Pulau Tanjung Surat, kemudahan penginapan pelancongan KEJORA serta membolehkan potensi kerjasama lanjut dalam menyesuaikan penawaran pelancongan dengan minat pelancong Jepun, dan bagi menyokong inisiatif Tahun Melawat Johor 2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Hasil daripada pertemuan dua hala ini, Tourism Malaysia berpandangan bahawa KEJORA selaku peneraju pelancongan desa Wilayah Johor Tenggara mampu mengetengahkan produk-produk pelancongan desa ini ke persada antarabangsa dan bersetuju untuk bekerjasama dalam menghubungkan KEJORA bersama agensi pelancongan di Jepun.
Langkah ini mencerminkan komitmen KEJORA untuk memperkukuh kehadiran global sambil memacu pertumbuhan ekonomi desa melalui pelancongan yang mampan dan inklusif. KEJORA yakin bahawa kerjasama ini akan membuka lembaran baharu dalam memperkenalkan pesona wilayahnya kepada dunia.

LAWATAN PENANDA ARAS JAWATANKUASA AUDIT PERDA KE LEMBAGA KEMAJUAN JOHOR TENGGARA (KEJORA)

KOTA TINGGI, 12 Jun – Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) telah menerima kunjungan delegasi daripada Jawatankuasa Audit Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) pada 11 hingga 12 Jun 2025. Delegasi tersebut diketuai oleh YBrs. Encik Azize bin Taib, Pengerusi Jawatankuasa Audit PERDA.
Ketibaan delegasi di Ibu Pejabat KEJORA telah disambut oleh YBrs. Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), bersama ahli Jawatankuasa Audit KEJORA, YBrs. Encik Tuan Ahmad bin Tuan Wil dan YBrs. Puan Murni Rahayu binti Ahmad Anuar. Lawatan ini bertujuan untuk berkongsi pandangan serta maklumat berkaitan tadbir urus dan pelaksanaan peranan KEJORA.
Delegasi ini telah diperdengarkan taklimat berkaitan Pembangunan KEJORA oleh YBrs. Encik Mohd Hanafi bin Jantan, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) dan Taklimat Sistem Audit Dashboard KEJORA yang telah disampaikan oleh YBrs. Encik Mohamad Rizal bin Mohd Hidzir, Ketua Unit Audit Dalam KEJORA. Seterusnya, Mesyuarat Jawatankuasa Audit telah diadakan sebagai sebahagian daripada pengisian lawatan.
Delegasi turut dibawa melawat ke beberapa lokasi di bawah pentadbiran KEJORA, termasuk Muzium Nelayan Tanjung Balau, kawasan pelancongan di Kampung Johor Lama, serta kawasan Tanaman Campuran KEJORA di Penggeli Kecil, Kota Tinggi.

KEJORA SEDIAKAN SISTEM PERPARITAN YANG SELAMAT KEPADA KOMUNITI DI KG BELADING BARU DAN KG SELUYUT, MUKIM JOHOR LAMA, DAERAH KOTA TINGGI, JOHOR DARUL TA’ZIM

KOTA TINGGI, 12 Jun – Projek menaiktaraf perparitan KEJORA adalah bertujuan untuk menambahbaik sistem perparitan sediada di dalam kawasan kampung tradisional wilayah KEJORA yang dahulunya merupakan perparitan tanah dan berisiko banjir. Pada hari ini, kerja-kerja menaiktaraf sistem perparitan sepanjang lebih kurang 50m di Kampung Belading Baru dan 570m di Kampung Seluyut, Mukim Johor Lama, Kota Tinggi, Johor telah berjaya disiapkan mengikut jadual.
Penyerahan siap kerja ini telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Mohd Hanafi bin Jantan, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KEJORA selaku wakil rasmi Pengurus Besar KEJORA. Semoga dengan penyiapan projek ini penduduk kampung dapat menikmati keselesaan dan menjalani kehidupan desa yang lebih selamat dan harmoni.

TAWARAN BARU TUTUP LKJT/KWPP/TB/P/2025/K332

Publish Keputusan tender k332 bayu balau

TAWARAN BARU TUTUP LKJT/KWPP/ KG. BELUKARDURIAN/ WR/2025/ K330

Publish Keputusan tender k330 WETLANDS

TAWARAN BARU TUTUP LKJT/UT/KG. PUNGGAI /WA/2021/K319

Publish Keputusan tender k319 punggai

KEJORA BERSAMA KOMUNITI MELAKSANAKAN IBADAH QURBAN SEMPENA AIDILADHA 2025/1446H

KOTA TINGGI, 7 Jun – Bagi menyemarakkan semangat keimanan dan kesyukuran kepada Allah SWT, KEJORA telah menganjurkan Majlis Ibadah Qurban Wilayah KEJORA bersama komuniti setempat bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha 2025/1446H. Majlis telah berlangsung di Masjid Al-Aa’la, Bandar Mas, Kota Tinggi.
Ibadah qurban kali ini melibatkan lima ekor lembu dan 66 ekor kambing, dan daging qurban telah diagihkan kepada penduduk di kawasan sekitar.
YBrs. Encik Mohd Hanafi bin Jantan, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), hadir sebagai wakil rasmi Pengurus Besar KEJORA bagi menyempurnakan pengagihan daging qurban kepada para penerima.
KEJORA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para penyumbang, petugas, sukarelawan, serta ahli kariah Masjid Al-Aa’la atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan program ini.

LAWATAN PEMANTAUAN PENGURUS BESAR KEJORA KE ARAH MENDAPATKAN CCC PROJEK PERUMAHAN TERSUSUN KAMPUNG TANJUNG BUAI, MUKIM JOHOR LAMA, KOTA TINGGI, JOHOR

KOTA TINGGI, 04 Jun- Bagi memastikan komitmen KEJORA dalam menyempurnakan pembangunan Projek Perumahan Tersusun Kampung Tanjung Buai, Kota Tinggi, Johor, Pengurusan KEJORA yang diketuai oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA telah mengadakan lawatan pemantauan untuk melihat dan memastikan penyempurnaan pembangunan yang telah dilaksanakan oleh pihak kontraktor di tapak bagi mendapatkan sijil pematuhan dan penyiapan (CCC).
Turut hadir adalah YBrs. Encik Mohd Hanafi bin Jantan, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Pengurusan serta pegawai KEJORA, wakil perunding dan wakil pihak kontraktor. Melalui lawatan ini, pihak kontraktor telah diminta untuk memastikan baki kerja penyiapan projek ini disempurnakan bagi membolehkan CCC diperolehi segera.